SHAH ALAM - Pergerakan semasa harga runcit sayur di Selangor seimbang berdasarkan pemantauan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, KPDNHEP memeriksa 10 jenis sayuran di empat pasar raya utama sekitar Shah Alam pada 22 hingga 25 November.
Menurutnya, antara sayur yang diperiksa ialah kubis bunga, sawi pendek, brokoli, kacang buncis, cili merah dan kesemua harganya berada pada memuaskan.
"Menerusi pemantauan sepanjang minggu itu mendapati terdapat enam kali sayur dijual pada harga tidak berubah (kekal), lima kali sayur dijual pada harga menurun manakala tujuh kali sayur dijual pada harga kenaikan antara RM0.10 - RM0.30 bagi sejenis sayur.
"Pergerakan harga itu seimbang (ada naik, turun dan kekal) dalam sistem ekonomi terbuka dan pengguna di Selangor mempunyai pilihan harga bagi mana-mana jenis sayur-sayuran," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Zawawi berkata, bermula tempoh 8 hingga 25 November lalu, sebanyak 365 premis sekitar negeri ini turut diperiksa bagi memantau harga ayam mentah dan telur.
Menurut beliau, buat masa ini bekalan ayam dan telur masih mencukupi dan pergerakan harganya juga adalah seiring dengan kenaikan kos serta faktor perubahan cuaca.
Tambah Mohd Zawawi, perubahan iklim menjadi faktor luar kawalan yang memberi kesan secara langsung kepada bekalan dan harga barangan basah di pasaran pengguna termasuk di Selangor.
Tambahnya, KPDNHEP Selangor turut menyambut baik sebarang maklumat berhubung kenaikan harga barangan semasa dengan menggunakan saluran rasmi mereka.