ISKANDAR PUTERI - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan merasmikan pembukaan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat di Tambak Johor, Johor Bahru Isnin ini.
Majlis perasmian pembukaan VTL darat itu akan turut diadakan di Singapura oleh Perdana Menteri republik itu, Lee Hsien Loong.
Pembukaan fasa baharu sempadan Malaysia-Singapura menerusi pelaksanaan VTL darat itu serentak dengan VTL udara.
Menurut Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad, majlis perasmian VTL darat tersebut dijangka berlangsung pada jam 10.45 pagi.
"Pembukaan semula sempadan antarabangsa paling sibuk di dunia itu amat penting untuk sektor ekonomi negara khususnya Johor yang merupakan negeri berjiran dengan Singapura.
"Ketika sempadan antarabangsa Malaysia-Singapura ditutup akibat pandemik Covid-19 segala aktiviti ekonomi di pusat Bandaraya Johor Bahru terhenti sehingga menjadi seperti 'bandar hantu'.
"Bagaimanapun, saya bersyukur apabila kepimpinan kedua-dua negara bersetuju untuk berbincang dan mencapai kata sepakat agar pelaksanaan VTL darat dilakukan serentak dengan VTL udara pada 29 November ini," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Khas Rumah Johor di Gerbang Nusajaya di sini pada Sabtu.
ARTIKEL BERKAITAN: VTL bawa sinar bahagia rakyat Malaysia, Singapura
1,440 individu dijangka guna VTL darat bermula 29 November
Hasni berkata, jumlah pengembara yang dihadkan kepada seramai 1,440 orang dibenarkan merentasi sempadan itu pada minggu pertama bukan masalah utama sebaliknya pembukaan semula sempadan itu lebih bermakna.
"Jika hanya 10 orang sahaja pun tidak mengapa asalkan sempadan Malaysia-Singapura dibuka segera kerana ia penting untuk memulihkan semula sektor ekonomi rakyat dan negeri," katanya.
Menurutnya, persediaan tetap perlu dilakukan kedua-dua negara bagi membolehkan lebih ramai pengembara dapat berulang-alik.