KOTA BHARU - Rakyat Kelantan berharap terus mendapat manfaat menerusi apa-apa sahaja bentuk pembayaran termasuk wang ihsan yang diberikan oleh kerajaan Persekutuan berhubung isu tuntutan royalti minyak di negeri ini.
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, satu perbincangan tertutup diadakan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Kelantan berhubung perkara tersebut.
"Perbincangan dihadiri oleh wakil kerajaan Kelantan antaranya Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, namun saya sendiri tidak terlibat dan perlu merujuk kepada pihak yang berkenaan untuk ulasan yang lebih tepat.
"Apa-apa pun keputusan perbincangan, kita mengharapkan rakyat Kelantan akan mendapat manfaat, tidak kira dipanggil wang ihsan atau royalti,” kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu kepada pemberita pada Sabtu.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan kepada 18 keluarga mangsa kebakaran di Jalan Gajah Mati di sini.
Sebelum ini, akhbar melaporkan Petronas tidak akan membuat bayaran royalti tunai kepada mana-mana negeri di Semenanjung termasuk Kelantan.
Hal itu disebabkan kedudukan medan pengeluaran petroleum yang beroperasi adalah di luar perairan negeri Kelantan.
Bagaimanapun, disebabkan lokasi medan petroleum berdekatan dengan perairan negeri Kelantan, maka kerajaan Persekutuan membuat pembayaran dalam bentuk wang ihsan.