JOHOR BAHRU - Kerajaan digesa memantau dan mengambil tindakan serius terhadap isu harga barangan serta perkhidmatan di pasaran yang didakwa melonjak naik sejak kebelakangan ini.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, Bersatu mengambil maklum rungutan rakyat mengenai kenaikan harga barang terutama bahan keperluan asas dan perkhidmatan yang berlaku ketika ini.
Menurutnya, kenaikan harga barang dilihat begitu ketara seperti menjelang tiba musim perayaan selain ketika musim tengkujuh bagi hasil laut.
"Golongan yang terkesan teruk berikutan kenaikan harga barang ini adalah mereka yang berpendapatan rendah khususnya kelompok B40, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta penjaja sekali gus meningkatkan kos sara hidup mereka.
"Bersatu berpandangan kerajaan juga perlu mengkaji mekanisme kawalan dan tindakan bagi menangani isu ini. Selain mengambil langkah-langkah intervensi yang dapat menjadi solusi kepada isu kenaikan harga barang," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Dr Sahruddin yang juga Setiausaha Bersatu Johor turut memaklumkan, pihaknya turut menerima keluhan daripada pemborong dan peniaga yang bergelut untuk menetapkan harga jualan kepada pengguna.
Oleh itu, katanya, pemantauan yang menyeluruh dan tindakan penguatkuasaan di lapangan perlu ditingkatkan dari masa ke masa.
"Selain itu, kerajaan dicadang untuk melaksanakan sesi libat urus secara berkala dengan pemegang taruh yang dilihat amat signifikan dalam mencari solusi yang tuntas dan efektif.
"Konsep Keluarga Malaysia seharusnya menjadikan kerajaan pimpinan Perdana Menteri lebih cakna dan prihatin dengan cabaran kenaikan harga barang yang dihadapi oleh rakyat pada masa kini sekali gus tegas dalam menangani isu ini dengan lebih berkesan," katanya.