PAPAR - [DIKEMAS KINI] Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Papar berhasrat untuk meletakkan calon dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Bendahari Bersatu Bahagian Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, jentera Bersatu terutama Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) perlu bersedia untuk menghadapi pilihan raya yang dijangka berlaku pada bila-bila masa.
"Kita sudah ada wakil di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan sudah pasti Bersatu juga ingin mewakili bagi kerusi Parlimen," katanya kepada Sinar Harian ketika hadir merasmikan Persidangan Armada Bersatu Bahagian Papar di Dewan Lok Kawi Heighty, Kinarut pada Sabtu.
Mengulas lanjut, beliau mengakui bahawa Bersatu agak baharu di Sabah dan jentera perlu memperkenalkan parti di bawah Perikatan Nasional (PN) itu kepada rakyat terutama di DUN Limbahau dan Pantai Manis.
"Kita parti baharu, sebab itu kita perlu menguar-uarkan, mungkin di DUN Kawang di Papar ini mereka pernah mengundi atas kertas logo PN, tetapi masyarakat di DUN Limbahau dan Pantai Manis belum pernah mengundi di atas kertas logo PN," katanya.
Sementara itu, ketika diminta mengulas berhubung cadangan mendaftarkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai gabungan politik yang rasmi, beliau menyambut baik perkara itu.
"Bagaimanapun, pada saya sempatkah ia didaftarkan kerana kita tahu pilihan raya akan berlangsung bila-bila masa sahaja dan kita tahu proses pendaftaran akan mengambil masa.
"Jadi sempatkah kita daftarkan GRS secara rasmi untuk membolehkan bertanding secara rasmi dalam pilihan raya atau dalam kertas undi," katanya.
Sehubungan itu, Armizan berkata, mana-mana pun gagasan yang ingin mewujudkan kesatuan memang dialu-alukan namun pada masa sama Bersatu perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan.
Sebelum itu, Ketua Armada Papar, Azrul Ibrahim mahu agar calon baharu dan muda diketengahkan dalam PRU akan datang.
"Kita lihat Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini majoriti yang menang adalah calon muda dan baharu.
"Saya tekankan di sini, calon baharu mungkin tidak termasuk kategori muda tetapi pengundi sekarang mahu melihat ada perubahan besar," katanya.
Bagaimanapun, beliau dalam pada itu memaklumkan di Sabah tidak sepatutnya berlaku pertembungan dalam kalangan parti politik di bawah GRS.
"Kita risau kestabilan politik akan tergugat dan kita lihat di Sabah memerlukan kestabilan politik.
"Jadi kita mengharapkan parti-parti politik PN, Barisan Nasional (BN), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan beberapa pihak yang menyokong gagasan GRS itu sendiri supaya melakukan persepakatan untuk mengekalkan kestabilan politik," jelasnya.