KUALA SELANGOR - Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) mengambil inisiatif menanam pokok paya bakau bagi mengelakkan hakisan ombak dan ancaman fenomena air pasang besar yang sering melanda pesisir pantai di daerah itu.
Yang Dipertuanya, Rahilah Rahmat berkata, ancaman fenomena itu mengakibatkan kemusnahan lebih teruk di kawasan daratan hingga boleh mengakibatkan risiko banjir.
"Air pasang besar sering melanda beberapa kawasan di daerah ini dan mengakibatkan banjir teruk jika berlaku pertembungan air laut di lembangan sungai disertai hujan lebat," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Tanam Pokok anjuran bersama MPKS dengan kerjasama Enquest Petroleum Development Malaysia dan Malaysian Nature Society di sini pada Ahad.
Rahilah berkata, fenomena semula jadi yang berlaku sekitar Oktober dan November itu memerlukan tindakan segera termasuk usaha tanaman pokok kayu bakar.
"Dengan adanya pokok bakau, ia secara tidak langsung dapat mengelak hakisan daripada terus berlaku disebabkan hempasan ombak kuat, malah kewujudannya terbukti apabila pokok ini dapat menghalang kejadian tsunami seperti yang berlaku di Langkawi," ujar beliau.
Selain itu, katanya, usaha penanaman itu akan dipergiatkan lagi dari semasa ke semasa bagi membolehkan ekosistem habitat semula jadi hasil laut terus membiak.
Katanya, pada tahun ini sahaja sebanyak tiga program sudah dianjurkan bagi usaha pemuliharaan kawasan paya bakau di pesisir pantai Kuala Selangor.
Jelas beliau, sebanyak 400 pokok paya bakau ditanam di keluasan 900 meter persegi di kawasan paya bakau menerusi kerjasama itu membabitkan dua fasa tanaman.
"Sebanyak 250 pokok ditanam pada fasa pertama pada hari ini (Ahad) dan bakinya akan kita tanam pada sambutan Hari Tanah Lembab Sedunia pada akhir Januari tahun depan.
"Bagaimanapun, ia bergantung kepada keadaan semasa terutama situasi penularan Covid-19," ujarnya.