BIARPUN terikat tanpa jaringan ketika berdepan Wolverhampton Wanderers (Wolves) pada Sabtu, namun ia dilihat memadai buat pengendali Norwich City, Dean Smith apabila menyaksikan skuad kendaliannya itu berjaya meraih satu mata yang cukup berharga.
Menurutnya, kemenangan 2-1 ke atas Southampton minggu lalu serta keputusan seri tanpa jaringan berdepan Wolves dilihat sebagai satu pencapaian yang agak membanggakan buat pasukan yang berada pada kedudukan ke-19 Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika ini.
Malah katanya, kesemua pemain The Canaries itu dilihat telah memberikan aksi terbaik pada perlawanan berkenaan dan malah hampir memenangi perlawanan menerusi beberapa percubaan yang hampir menghasilkan gol.
"Setelah menewaskan Southampton, kami turut menyasarkan untuk menewaskan Wolves; namun mungkin ia tidak memihak kepada kami walaupun kami beraksi agak baik.
"Ya, kami beraksi lebih baik berbanding ketika menewaskan Southampton minggu lalu, tetapi gagal untuk menembusi benteng Wolves.
"Apa pun, kami gembira dengan keputusan ini dan berharap ia mampu diteruskan pada perlawanan-perlawanan akan datang,” katanya.
Untuk rekod, Norwich kini berada pada zon penyingkiran setelah hanya meraih sembilan mata daripada 13 perlawanan manakala Wolves berada pada kedudukan keenam dengan 20 mata setelah mengharungi 12 perlawanan setakat ini.
Sementara itu, Smith mengakui skuad kendaliannya mulai menunjukkan peningkatan prestasi sejak kebelakangan ini dan berharap ia berterusan dan seterusnya mampu keluar dari zon penyingkiran.
"Bagi saya, kesemua pemain sudah mula menunjukkan peningkatan dalam permainan masing-masing dan ia satu berita baik buat pasukan.
"Jika aksi sebegini berterusan, saya yakin pasukan ini akan berada pada kedudukan terbaik EPL dan seterusnya memberikan cabaran kepada pasukan-pasukan lain,” katanya.