KEMAMAN – Seorang nelayan tempatan melalui detik mencemaskan apabila terapung lebih tujuh jam di lautan selepas bot yang dinaikinya karam akibat cuaca buruk di perairan Pulau Kapas, jam 10 pagi pada Sabtu.
Mangsa, Mohd Nasir Othman, 45, hanya mampu berpaut pada muncung bot yang hampir tenggelam sebelum dia berjaya diselamatkan sebuah bot tunda yang dalam perjalanan dari Thailand menuju ke Indonesia pada jam 5 petang.
Pengarah Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, pihaknya menggerakkan bot Penggalang 16 bagi menyelamatkan mangsa selepas menerima panggilan kecemasan.
"Sebelum kejadian, mangsa dilaporkan pergi ke laut seorang diri untuk memancing sebelum bot yang dinaikinya terbalik akibat dipukul ombak besar.
"Mangsa terapung dengan berpaut pada muncung bot yang hampir tenggelam sehingga ditemui dan diselamatkan oleh kru bot tunda Macallan 9,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, mangsa kemudian dipindahkan dari bot tunda Macallan 9 ke bot Penggalang 16 pada lokasi 10 batu nautika dari Kuala Kemaman untuk dibawa ke Jeti Zon Maritim Kemaman bagi rawatan susulan.
Beliau berkata, Mohd Nasir yang tidak mengalami kecederaan serius tiba di Jeti Zon Maritim Kemaman pada jam 3.40 pagi sebelum dihantar ke Hospital Kemaman untuk pemeriksaan kesihatan.
"Kita menasihatkan semua komuniti maritim supaya menyediakan peralatan keselamatan dan sentiasa memakai jaket keselamatan semasa berada di laut bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.