ISKANDAR PUTERI- Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad menemplak pembangkang di negeri ini yang mempersoalkan jumlah pengembara yang dibenarkan merentas sempadan Malaysia-Singapura menerusi Laluan Perjalanan Bagi Orang Sudah Divaksinasi (VTL) terlalu kecil.
Katanya, perkara utama diberi perhatian ialah sempadan kedua-dua negara yang perlu dibuka semula sebagaimana sebelum pandemik Covid-19.
"Tidak perlulah untuk kita mempersoalkan bilangan orang yang dibenarkan merentas sempadan. Sama ada 1,440 orang itu terlalu kecil bilangannya, mahupun mempersoal mengapa perlu dikenakan ujian di pintu masuk, sedangkan Singapura tidak berbuat demikian.
"Yang penting, sempadan Johor – Singapura sudah dibuka dan dalam masa terdekat keadaan akan kembali hampir seperti sebelum penutupannya.
"Sempadan Johor – Singapura akan mula dibuka pada 29 November (Isnin) melalui kaedah VTL," katanya pada sesi penggulungan Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, di Kota Iskandar, di sini pada Ahad.
Pada 21 November lalu, Hasni memaklumkan, seramai 1,440 individu dijangka menggunakan laluan VTL darat antara Malaysia dan Singapura yang akan dilaksanakan serentak dengan VTL udara pada Isnin.
Perjalanan darat antara Singapura dan Johor Bahru hanya merangkumi pemegang pas jangka panjang bagi mereka yang bekerja di Singapura dan Johor Bahru.
Selain diwajibkan divaksinasi penuh, laluan VTL hanya menggunakan bas sebagai mekanisme pengangkutan.
Perkhidmatan bas VTL darat ditetapkan ke Singapura menerusi Terminal Bas Larkin Sentral sebagai lokasi turun naik penumpang di Malaysia.
Terminal Queen Street pula dijadikan pusat turun naik penumpang di Singapura.