KAJANG - Nilai eksport negara dijangka mencecah RM1.2 trilion pada tahun ini, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Beliau berkata, sasaran yang ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk prestasi nilai eksport sebanyak RM1.24 trilion dan negara dapat mencapainya empat tahun lebih awal daripada sasaran.
Iklan
Iklan
Menurutnya lebih membanggakan apabila negara mencatatkan nilai eksport sebanyak RM114 bilion bagi tempoh Oktober lalu yang merupakan nilai tertinggi pernah dicatatkan.
"Ini membuktikan langkah kerajaan untuk membuka semula sempadan sama ada daerah, negeri dan negara telah memberi keyakinan kepada pelabur tempatan dan asing untuk terus melabur di negara ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Semarak Prihatin Negeri Selangor di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang pada Ahad.
Mengenai prestasi pelaburan negara bagi tempoh September hingga November ini katanya, negara mencatatkan pelaburan lebih RM300 bilion, melebihi sasaran RM270 bilion yang ditetapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, pencapaian sasaran tersebut membuktikan pelabur asing yakin dengan ekosistem perniagaan dalam negara dan dasar pelaburan yang diperkenalkan iaitu Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA). - Bernama