KPDNHEP sasar 15,200 peniaga guna e-dompet tahun depan

Iklan
Alexander Nanta Linggi

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyasarkan sejumlah 15,200 peniaga luar bandar di seluruh negara terlibat dengan model perniagaan secara digital atau e-dompet menjelang 2022.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, bagi mencapai sasaran itu, KPDNHEP dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) akan memperluaskan lagi program Inisiatif Digital Peruncitan (ReDI) di setiap negeri.

Iklan
Iklan

"Program ini diadakan bagi memastikan peniaga kecil tidak ketinggalan dalam arus perdana dan membantu perniagaan kecil di kawasan pedalaman melibatkan diri menerusi model baharu perniagaan secara digital,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) Negeri Sarawak di sini, pada Ahad.

Nanta berkata, berdasarkan rekod Jabatan Perangkaan Malaysia, pendapatan transaksi e-dagang telah melonjak hingga 30 peratus iaitu RM254.6 bilion pada suku pertama 2021.

Iklan

"Berdasarkan rekod Bank Negara, penggunaan e-dompet atau ‘e-wallet’ juga menunjukkan peningkatan sebanyak RM600 juta pada 2020, berbanding tahun sebelumnya yang hanya mencatat sebanyak RM300 juta," katanya.

Nanta berkata, peningkatan ini amat signifikan dan memperlihatkan kadar penerimaan penggunaan transaksi tanpa tunai di negara ini.

Iklan

Setakat ini, sejumlah 1,734 peniaga di daerah Kapit telah mendaftarkan perniagaan mereka dengan penyedia e-dompet.

"Di Pasar Teresang (sebuah pasar basah di Kapit) sahaja, sejumlah 27 peniaga telah mendaftarkan perniagaan mereka, ini menunjukkan perkembangan yang sangat memberangsangkan dan kita jangka jumlah ini akan meningkat.

"Pelaksanaan ReDI ini juga dilihat mampu memberikan satu momentum kepada agenda digitalisasi negara terutama untuk pemain industri sektor peruncitan,” katanya.

Pada majlis itu, Nanta turut mengumumkan sumbangan e-dompet bernilai RM50 setiap satu kepada lebih 400 belia serta peniaga di daerah Kapit yang telah menggunakan transaksi aplikasi itu. - Bernama