PADANG TERAP - Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan mengadakan Ujian Kecenderungan Kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (UKKM), Ujian Khas Ulul Albab dan Ujian Teknikal bagi pelajar Tingkatan Satu dan Empat untuk tahun depan.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ujian berkenaan akan bermula pada 3 Disember ini bagi calon yang berada di negeri Kedah, Kelantan, Johor dan Terengganu, manakala calon dari negeri lain bermula pada 4 Disember.
Menurutnya, sehingga kini Mara menerima 57,122 permohonan untuk ke Tingkatan Satu dan 17,350 permohonan ke Tingkatan Empat bagi tahun 2022.
"Pelajar ini akan dipanggil untuk menduduki ujian secara berperingkat sehingga 30 Januari depan. Semakan tarikh, masa dan tempat ujian boleh disemak dalam talian bermula jam 10 pagi Isnin (esok) melalui Portal Rasmi Mara,” katanya pada sidang akhbar selepas penyerahan buku dan topi keledar sumbangan Yayasan Perintis Malaysia di Pejabat Pendidikan Daerah Padang Terap pada Ahad.
Mahdzir memaklumkan, pemohon akan menerima notifikasi menerusi Sistem Pesanan Ringkas (SMS) atau emel yang telah didaftarkan semasa permohonan.
"Calon tidak dibenarkan untuk membuat sebarang pertukaran tarikh, masa dan tempat ujian yang telah ditetapkan. Kesemua calon terlibat akan menduduki ujian khas ini di 61 buah pusat ujian terpilih, melibatkan 53 buah MRSM di seluruh negara,” katanya lagi.
Menurut beliau, selebihnya ujian akan diadakan di lapan buah Institusi Pendidikan Mara (IPMA) di Selangor dan Negeri Sembilan.
"Calon UKKM akan dinilai berdasarkan subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Keperibadian.
"Saya mohon semua calon bersedia dan membuat persiapan lengkap menjelang hari peperiksaan dan saya doakan semuanya berjalan lancar,” ujarnya.
Mahdzir berkata, setakat 30 September, jumlah pelajar tajaan Mara adalah seramai 50,555 orang, iaitu 89 peratus daripadanya atau 44,004 pelajar adalah daripada keluarga B40.
"Sekitar 10 peratus atau 5,055 adalah pelajar M40 dan hanya satu peratus atau 506 pelajar daripada keluarga T20,” katanya.
Sebarang maklumat serta informasi terkini, layari portal rasmi Maradi pautan www.mara.gov.my atau laman media sosial Mara di Facebook, Instagram dan Twitter.