Belanjawan Johor 2022 lulus sebulat suara

Iklan
Belanjawan Johor 2022 yang dibentangkan di Dewan Undangan Negeri ( DUN) diluluskan pada Ahad.

ISKANDAR PUTERI - Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Ahad sebulat suara meluluskan Belanjawan Johor 2022 yang dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad pada 18 November lalu.

Perkembangan itu sekali gus mengetepikan spekulasi berhubung sidang DUN yang dikatakan 'panas' berikutan peringatan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan 'tekan butang' yang menyebabkan beberapa negeri tumbang termasuk Johor.

Iklan
Iklan

Peringatan itu diberikan sewaktu Pilihan Raya Negeri ( PRN) Melaka baru-baru ini selepas veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad mencabar Muhyiddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir menarik sokongan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.

Kerajaan negeri di bawah Hasni iaitu Barisan Nasional (BN), Bersatu dan Pas memiliki majoriti iaitu hanya 29 kerusi berbanding pembangkang Pakatan Harapan (PH) mempunyai 27 kerusi.

Iklan

Pada 18 November lalu, Hasni mengumumkan belanjawan yang bertemakan 'Memperhebat Kesejahteraan Johor' selari dengan hasrat bagi memastikan kelangsungan hidup rakyat Johor yang terjejas dalam mendepani dan menangani penularan pandemik Covid-19 terus dibela.

Belanjawan Johor 2022 merupakan belanjawan defisit sebanyak RM286.47 juta berbanding RM248.14 juta pada tahun lalu sementara unjuran hasil negeri pula adalah sebanyak RM1.671 bilion, manakala unjuran perbelanjaan pula berjumlah RM1.958 bilion.

Iklan

"Tema Belanjawan Johor 2022 sejajar dengan hasrat kerajaan negeri memastikan kelangsungan rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19. Belanjawan ini amat bermakna kerana kerajaan negeri mempergiatkan usaha memberi suntikan serta lonjakan baharu kepada pertumbuhan ekonomi dan sosial yang mampan, juga berdaya tahan.

"Segala pertimbangan dalam Belanjawan Johor 2022 akan dipandu dua asas utama iaitu pertama mendekati dan meringankan beban rakyat yang terjejas akibat Covid-19. Seterusnya, mempergiatkan usaha memulihkan sektor-sektor ekonomi secara menyeluruh,”katanya.