IPOH - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak mendakwa seorang ahlinya dari Cabang Sungai Siput mengalami gangguan seksual secara fizikal ketika menjalankan program kebajikan di Kuala Kangsar.
Pengerusinya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, individu tersebut mengalami gangguan seksual tersebut daripada beberapa individu tidak dikenali ketika program yang berlangsung pada 25 November itu.
Menurutnya, susulan kejadian itu, mangsa juga telah membuat laporan polis bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini berlaku.
"Saya menuntut keadilan dan pembelaan yang sewajarnya dapat ditegakkan serta turut menyerahkan segala proses soal siasat dan prosedur sebenar kepada kebijaksanaan pihak polis.
"Dari masa ke masa, kes gangguan seksual kelihatan semakin berleluasa, bukan sahaja dalam kalangan ahli politik dan orang bekerjaya, malah ia turut berlaku ke atas pelajar sekolah dan mahasiswi di universiti," katanya dalam satu kenyataan media pada Ahad.
Menurutnya, ketika ini tiada undang-undang khusus terhadap kesalahan gangguan seksual biarpun terdapat peruntukan terhadap perlindungan wanita di tempat kerja yang telah dimasukkan di dalam Akta Kerja 1955 pada tahun 2012.
Beliau meminta supaya pihak kerajaan dapat memandang serius isu ini serta menggubal rang undang-undang berkaitan gangguan seksual bagi menegakkan keadilan dan pembelaan ke atas mereka yang mengalaminya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad mengesahkan mengenai laporan yang diterima pada 25 November itu.
Katanya, bagaimanapun laporan dibuat berkaitan kes ugutan dan bukan gangguan seksual.
Jelasnya, kertas siasatan juga telah dibuka dan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.