GUA MUSANG - Seorang lelaki berjaya menunaikan nazarnya dengan berjalan kaki sejauh 290 kilometer merentas negeri Selangor, Pahang dan Kelantan untuk pulang ke kampung halamannya di Kampung Bertam Baru, Gua Musang, Kelantan.
Mohd Syahrizal Harun atau lebih dikenali sebagai Mat yang bekerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur itu berjaya menunaikan nazarnya selepas berjalan kaki selama empat hari.
Menurut Mat yang berusia 40 tahun, sebelum ini, dia tidak dapat balik ke kampung halamannya akibat penularan pandemik Covid-19.
Katanya, sebelum pengumuman kebenaran rentas negeri dibuat oleh kerajaan, dia bernazar untuk pulang ke kampung dengan cara berjalan kaki sebagai tanda kesyukuran.
Selama empat hari merentas tiga negeri, Mat mengharungi pelbagai cabaran terutama sekali cuaca yang tidak menentu.
"Cabaran kedua ialah berjalan di musim hujan dengan beberapa kejadian tanah runtuh, banyak jalan ditutup serta dilencongkan ke arah lain (menyebabkan) kena tambah kilometer perjalanan lagi.
"Di waktu malam pula berjalan pula risikonya hanya satu keadaan gelap dan binatang, tapi Alhamdulillah tidak ada binatang yang berbahaya setakat anjing sahaja,” kata Mat berkongsi pengalaman ketika ditemui pemberita di Hentian Gua Musang di sini pada Ahad.
Sebelum itu, kepulangan Mat ke Gua Musang disambut oleh Ahli Dewan Undangan Nenggiri, Ab. Aziz Yusoff; Yang Dipertua Majlis Belia Jajahan Gua Musang, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dan Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara), Che Ibrahim Che Ismail. - Awani