SHAH ALAM- Sebanyak 45 peratus daripada penerima janji temu untuk dos penggalak gagal menghadirkan diri ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang ditetapkan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, terdapat tiga faktor yang menjadi penyebab rakyat tidak mengambil dos penggalak tersebut.
Menurut beliau, antaranya adalah mereka tidak mengetahui keberkesanan dan kepentingan dos penggalak.
"Saya sudah minta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk lebih kerap menerangkan tentang perkara ini di media,” katanya semasa program Agenda Awani yang bertajuk Vaksin Covid-19: Dos penggalak Jadi Perisai pada Ahad.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, rasa takut akan pencampuran vaksin juga menjadi faktor penyumbang kepada tidak mengambil dos penggalak.
"Mereka takut campur vaksin, dahulu dapat Sinovac, sekarang kita galakkan mereka dapat dos penggalak daripada Pfizer. Mereka risau,” ujarnya.
Tambah Khairy, kebanyakan mereka yang enggan menerima campuran vaksin adalah daripada golongan yang berisiko tinggi iaitu berumur 60 tahun ke atas.
"Sebab ketiga keengganan penerima vaksin ini ialah dulu waktu beri dos satu dan dua, kita berdepan dengan varian Delta, angka kes meningkat, jadi mereka takut. Sekarang ini mereka sudah tidak takut lagi.
"Sekarang ini kita mungkin jadi mangsa dengan kejayaan sendiri kerana sudah berjaya menurunkan kes, ramai mula alpa,” katanya.
Beliau menegaskan, orang ramai tidak boleh mengambil mudah pemberian dos penggalak kerana di negara lain ia menjadi satu perkara penting disebabkan wujudnya varian Omicron.
"Kalau liputan dos penggalak tidak tinggi seperti liputan dos pertama dan kedua, saya pasti kes, bilangan kemasukan ke hospital dan kematian akan meningkat,” ujarnya.
Tambah beliau, kesan sampingan bagi dos penggalak juga adalah ringan dan tiada kes serius yang menyebabkan kemasukan ke hospital setakat ini.
"Sekiranya data menunjukkan dos penggalak meningkatkan kesan sampingan yang serius, sudah pasti kita sarankan untuk tidak diteruskan,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:Syor vaksin Comirnaty, AstraZeneca, CoronaVac sebagai dos penggalak