KUANTAN - Seorang remaja lelaki bawah umur ditahan selepas dipercayai memiliki motosikal curi dalam satu sekatan jalan raya di susur keluar Plaza Tol Sri Jaya, Maran pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman berkata, remaja berusia 16 tahun itu menunggang motosikal jenis Honda EX5dan pemeriksaan pada nombor casis serta enjin tidak dapat dibaca.
Iklan
Iklan
"Susulan itu semakan kompol pada nombor chasis dalam Sistem Pengurusan Rekod Jenayah (SPRJ) mendapati motosikal terbabit dilaporkan hilang di Majidee, Johor.
"Remaja itu ditahan manakala motosikal dirampas untuk siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Remaja itu ditahan dalam Ops Bersepadu Motosikal yang berakhir pada pagi Ahad membabitkan seramai 17 pegawai dan anggota dari Balai Polis Maran dan Balai Polis Sri Jaya.
Katanya, dalam operasi itu, sebanyak 92 saman kepada pemilik kenderaan kerana melakukan pelbagai kesalahan.