SUNGAI SIPUT - Dua lelaki maut selepas kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 34 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar, di sini pada malam Ahad.
Mereka yang maut merupakan pemandu kereta berusia 20 tahun dan penumpang kereta berusia 22 tahun.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak, Superintendan Azizan Hassan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.20 malam ketika kereta jenis Proton Saga yang dinaiki mangsa sedang menghala ke Kuala Kangsar dari Ipoh.
Menurutnya, setibanya di lokasi kejadian, kereta mangsa terbabas dan memasuki arah bertentangan sebelum bertembung dengan MPV jenis Proton Exora yang dipandu seorang anggota polis berusia 41 tahun bersama empat ahli keluarga.
"Akibat perlanggaran itu, pemandu dan penumpang kereta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu MPV tidak mengalami kecederaan.
"Dua orang penumpang MPV mengalami kecederaan parah dan dua orang lagi mengalami cedera ringan.
'Kesemua mangsa kemalangan dibawa ke Hospital Sungai Siput untuk menerima rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan.