VTL Darat: Penantian Bali bertemu keluarga berakhir

Iklan
Bali (kanan) yang tiba menerusi VTL - Darat di Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral, Johor Bahru pada Isnin disambut isteri, Alicia (kiri) dan tiga orang anaknya.

JOHOR BAHRU - Tangisan kegembiraan menyelubungi pertemuan Bali Anak Jalang, 36, yang pulang ke Johor Bahru dari Singapura menerusi Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin- Laluan Darat ( VTL- Darat) pada Isnin.

Iklan
Iklan

Bali yang bekerja sebagai pekerja teknikal pendingin hawa di Singapura tidak dapat menahan sebak apabila disambut keluarganya di Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral selepas terpisah sejak setahun lalu.

Katanya, sukar digambarkan dengan kata-kata apabila dapat pulang untuk menatap wajah puteri bongsu yang baru berusia lima bulan.

Iklan

"Saya sebak dan tidak sabar untuk bertemu anak bongsu daripada lima beradik yang tidak pernah saya lihat depan mata sebelum ini. Saya bersyukur isteri, Donna Alicia, 34, dan lima orang anak kami dalam keadaan sihat.

"Malah isteri bersama tiga orang anak iaitu Xuvalzher Alex, 2; Xlevalzher Alex, 8 dan Xerxes Monarch, 10, datang ke Larkin untuk menyambut saya," katanya ketika ditemui di Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral.

Iklan

Bali ketika ditemui di Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral hari ini.

Bali memberitahu, dia pernah pulang ke Malaysia bertemu keluarga di Pasir Gudang menerusi Skim Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) pada tahun lepas sebelum kembali semula bekerja di Singapura.

Dia yang sudah 16 tahun bekerja di Singapura berkata, hanya panggilan telefon menjadi penghubung antara anak-anak dan isteri di Pasir Gudang serta keluarga di Limbang, Sarawak.

"Tentang VTL pula, saya rasa lebih mudah berbanding PCA sebab tidak perlu kuarantin. Saya keluar jam 6 pagi sebelum menaiki bas di Terminal Queen Streets Singapura pada jam 8 pagi dan tiba di Larkin kira-kira 9.10 pagi.

"Selepas tiba di Larkin, saya menjalani ujian pengesanan pantas (RTK), 'On Arrival Test' (OAT) Covid-19 dan keputusannya negatif," katanya.

Sebelum itu, Penasihat Menteri Besar, Datuk Tee Siew Keong menyambut ketibaan kumpulan pertama VTL-Darat seramai 46 pengembara yang tiba di terminal berkenaan kira-kira jam 9.10 pagi.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad pada 21 November lalu memaklumkan, seramai 1,440 individu dijangka menggunakan VTL -Darat antara Malaysia dan Singapura yang akan dilaksanakan serentak dengan VTL - Udara pada 29 November (Isnin).