SkyAwani 3 sedia 1,905 unit rumah mampu milik

Iklan
Shahidan (lima dari kiri) bersama Jalaluddin (lima dari kanan), Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar (empat dari kanan), Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah (tiga dari kanan), Pengarah Urusan Sky World, Datuk Ng Thien Phing (empat dari kiri) pada majlis Topping Off Residensi Wilayah Keluarga Malaysia SkyAwani 3.- FOTO ROSLI TALIB

KUALA LUMPUR - SkyAwani 3 di bawah Program Residensi Keluarga Malaysia menyediakan 1,905 unit rumah mampu milik di Sentul.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, unit kediaman berkeluasan lantai 800 kaki persegi itu dijual dengan harga RM300,000 seunit.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, projek yang dibina dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan SkyWorld itu telah berjaya dijual sepenuhnya pada Jun 2019 lalu.

"SkyAwani 3 ini dibangunkan di atas tanah berkeluasan 4.45 ekar di lokasi yang strategik dalam pusat bandar.

Iklan

"Ia juga mencapai tahap siap 'super structure' sepenuhnya mengikut piawaian Pentaksiran Kualiti Dalam Sistem Pembinaan (QLASSIC) daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

"Ini bagi memastikan aspek kualiti binaan diberi penekanan dan turut dilengkapi dengan kemudahan bertaraf kondominium,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian semasa Majlis Topping Off Residensi Wilayah Keluarga Malaysia SkyAwani 3 pada Isnin.

Hadir sama, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Mengulas lanjut, Shahidan berkata, projek tersebut dijangka siap sepenuhnya pada awal tahun hadapan.

Tambahnya, sehingga kini, sebanyak 62,836 unit rumah yang melibatkan 102 projek Residensi Wilayah Keluarga Malaysia telah mendapat kelulusan untuk pembinaan di Wilayah Persekutuan.

Jelas beliau, daripada jumlah tersebut sebanyak 95 projek adalah di Kuala Lumpur, tiga projek di Putrajaya dan empat projek di Labuan.

"Sasaran Residensi Wilayah Keluarga Malaysia adalah 80,000 unit dalam tempoh 10 tahun iaitu pada 2018 hingga 2028. Di mana setiap tahun sebanyak 8,000 unit perlu disediakan,” katanya.

Selain itu, SkyWorld turut mempunyai beberapa lagi projek Residensi Wilayah Keluarga Malaysia dengan jumlah keseluruhan setakat ini hampir 6,236 unit.

"Saya difahamkan SkyAwani 4 dan 5 juga telah habis dijual. Siri Awani seterusnya pula difahamkan kini berada di peringkat perancangan dan akan ditawarkan kepada orang awam pada masa akan datang,” katanya.

Tambah beliau, KWP percaya melalui kerjasama dua hala bersama pihak swasta, sasaran untuk membangunkan lebih banyak Residensi Wilayah Keluarga Malaysia di Wilayah Persekutuan mampu dicapai.

"Pihak kerajaan akan terus komited dalam menyediakan kemudahan serta persekitaran yang kondusif.

"Ia bagi memastikan kesejahteraan sosial dan keselesaan kehidupan rakyat sentiasa diutamakan sebagai salah satu obligasi sosial kepada warga Wilayah Persekutuan selari dengan matlamat Our City Our Home,” katanya.