Varian Omicron: Indonesia sekat pelawat dari empat lagi negara

Iklan
Indonesia menyenaraikan Angola, Hong Kong, Malawi dan Zambia ke dalam senarai yang dikenakan sekatan sebagai langkah berjaga-jaga terhadap varian Omicron.- Foto Reuters

JAKARTA - Indonesia pada Isnin menyenaraikan empat lagi negara iaitu Angola, Hong Kong, Malawi dan Zambia ke dalam senarai yang dikenakan sekatan sebagai langkah berjaga-jaga terhadap varian Omicron.

Pada Ahad, Indonesia telah mengumumkan sekatan kepada pengembara yang masuk dari Nigeria, Afrika Selatan, Botswana, Namibia, Zimbabwe, Lesotho, Mozambique dan Eswatini. Bagaimanapun, Nigeria kemudian dikeluarkan daripada senarai merah itu.

Iklan
Iklan

Pengembara yang pulang dari negara telibat, dalam tempoh 14 hari lepas perlu menjalani kuarantin di kemudahan ditetapkan, kata pegawai kanan dalam satu taklimat berita.

Menteri Penyelaras, Luhut Pandjaitan berkata, tempoh kuarantin wajib bagi pengembara antarabangsa, rakyat Indonesia dan warga asing dilanjutkan kepada seminggu berbanding tiga hari.

Iklan

"Kami telah mengambil semua langkah dan tindakan yang perlu untuk memastikan pandemik terkawal,” katanya.

Jurucakap Kementerian Kesihatan, Siti Nadia Tarmizi berkata, sehingga kini, varian baharu itu belum dikesan di negara ini dan kementerian sedang memantau rapat melalui analisis penjujukan genom.

Iklan

Sementara itu, kerajaan Indonesia telah membekukan cuti kepada penjawat awam untuk mengurangkan penularan Covid-19 ketika cuti Krismas dan tahun baharu dari 24 Disember hingga 2 Januari 2022.

Kerajaan juga akan mengenakan sekatan mobiliti awam tahap tiga (sederhana) dikenali sebagai PPKM, di seluruh negara sepanjang tempoh itu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Khamis merayu kepada negara di rantau Asia Tenggara untuk meningkatkan pengawasan, mengukuhkan langkah kesihatan awam dan sosial serta meningkatkan liputan vaksinasi.

Pengarah serantau WHO, Dr Poonam Khetrapal Singh berkata,"negara mesti meningkatkan pengawasan dan penjujukan” berikutan lonjakan kes Covid-19 global dan pengesanan varian baharu Omicron.

"Mereka harus menilai risiko kes import melalui perjalanan antarabangsa dan mengambil langkah pencegahan dan keselamatan yang sewajarnya," tambahnya.

Varian B.1.1.529 atau Omicron pertama kali dilaporkan kepada WHO pada 24 November yang dikesan di Afrika Selatan. - Bernama