Empat penguat kuasa antara tujuh ditahan libat samun barang kes

Iklan
Mazlan menunjukkan barang kes yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di sini pada Isnin.

GOMBAK - Seramai tujuh individu termasuk empat lelaki dari sebuah agensi penguat kuasa ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes samun di tempat penyimpanan barang kes di Dengkil Sepang pada Rabu lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kesemua tangkapan berusia 25 hingga 49 tahun itu ditahan di Shah Alam dan Sepang pada hari sama.

Iklan
Iklan

"Hasil soal siasat empat lelaki penguat kuasa itu, kita berjaya menahan tiga lagi individu lain termasuk seorang lelaki berperanan sebagai orang tengah selaku pengantara 'orang dalam' dengan kumpulan penjenayah tersebut," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di sini pada Isnin.

Mazlan berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan ada kebocoran maklumat daripada 'orang dalam' agensi penguatkuasaan memaklumkan barang kes jenis arak yang berada di lokasi tersebut.

Iklan

"Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, seramai tiga lelaki menggunakan sebuah lori menyamun barang kes berkenaan dan suspek turut mengikat pengawal keselamatan.

"Kumpulan penjenayah itu mengambil masa kira-kira dua jam untuk menyamun barang kes ke dalam sebuah lori," katanya.

Iklan

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya berjaya menjumpai sebuah lori yang digunakan kumpulan penjenayah itu di Shah Alam dan merampas 234 kotak arak di dalam lori terbabit.

"Selain itu, kita turut merampas dadah jenis pil captagon seberat dua kilogram, 47 biji pil erimin 5 dan kokain 4.9 gram bernilai RM559,899 serta wang tunai RM111,100 di dalam sebuah kereta milik salah seorang anggota penguat kuasa berbabit," katanya.

"Kita masih mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan," jelasnya.