PUTRAJAYA - Semua pihak termasuk pihak berkuasa agama dan pendakwah digesa bekerjasama dalam membanteras dan menghentikan polemik mandi Safar.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, pihak tersebut juga diseru menyebarkan kepada masyarakat iktikad yang benar mengenai musibah dan bala bencana.
Menurutnya, ia tidak berlaku disebabkan kesialan tahun, bulan, minggu, hari atau masa yang tertentu, tetapi dengan kehendak dan izin ALLAH SWT sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Taghabun ayat 11.
"Amalan mandi Safar yang berasaskan kepercayaan bulan Safar sebagai bulan pembawa musibah atau bala adalah bertentangan dengan penafian Rasulullah SAW.
"Apa yang penting sebarkan doa-doa Rasulullah SAW yang boleh dibaca setiap hari bagi menolak sebarang musibah dan bala bencana," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Ahmad Marzuk berkata, Islam pada asasnya merupakan agama yang meraikan adat, tradisi dan kebudayaan manusia.
"Selagi mana adat, tradisi dan kebudayaan tersebut tidak bertentangan dengan akidah dan syariat, maka ia bebas untuk diamalkan.
"Jika sebaliknya berlaku, ia mesti ditinggalkan atau diletakkan garis panduan. Inilah yang ditunjukkan oleh Nabi SAW ketika Baginda berhadapan dengan masyarakat jahiliah bergelumang dengan bermacam perkara syirik serta khurafat dalam adat dan tradisi mereka," katanya.
Beliau berkata, dengan dakwah dan usaha gigih para ulama terdahulu, masyarakat semakin meninggalkan tradisi berkenaan sehingga ia menjadi begitu asing untuk diamalkan.
"Kini, jabatan-jabatan agama negeri hanya merekodkan beberapa kes mandi Safar yang dikategorikan terpencil.
"Ini menunjukkan umat Islam sudah mula memahami agama secara sahih dan berfakta, bukan sekadar mengikut tradisi semata-mata," katanya.
Sehubungan itu, Marzuk menyeru semua pihak agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan masyarakat berkenaan kedudukan mandi Safar.
"Adalah berpada bagi kita sebagai pendakwah atau ilmuwan agama untuk menjelaskan kekhurafatan mandi Safar menerusi hadis Baginda SAW," katanya.