PASARAN getah Malaysia ditutup bercampur-campur pada Isnin, disokong oleh pemulihan dalam harga minyak mentah.
Seorang peniaga berkata, harga minyak meningkat pada Isnin, menebus kembali kerugian selepas kejatuhan harga pada Jumaat sebanyak AS$10 (kira-kira RM42.38) setong apabila para pelabur mula membeli ketika harga rendah.
Pada masa ini, penanda aras minyak mentah Brent menokok 4.32 peratus kepada AS$75.77 setong.
"Sentimen pasaran turut disokong oleh data ekonomi yang positif dari Jepun,” tambah beliau.
"Dilaporkan Kabinet Jepun telah meluluskan peruntukan tambahan pertamanya untuk tahun fiskal ini pada Jumaat dengan perbelanjaan bernilai AS$315 bilion untuk mengurangkan kesan terjejas daripada pandemik Covid-19," katanya.
Selain itu, beliau menambah peserta pasaran dijangka melihat semula impak ke atas ekonomi yang dibawa oleh varian Omicron dan menantikan rancangan yang lebih ketat oleh beberapa bank pusat untuk petunjuk seterusnya.
Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk SMR 20 naik 16 sen kepada 754.5 sen sekilogram sementara lateks pukal susut satu sen kepada 587.0 sen sekilogram.
Pada jam 5 petang, harga penutup LGM untuk SMR 20 ialah pada 743.5 sen sekilogram manakala lateks pukal pada 582.0 sen sekilogram. - Bernama