HAMPIR 1,500 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan semasa perlawanan akhir Piala Malaysia 2021 di antara Kuala Lumpur (KL) City FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi memastikan kelancaran sepanjang perlawanan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, pihaknya akan meningkatkan kawalan keselamatan di dalam dan luar stadium, bagi memastikan keadaan keselamatan penonton terjamin serta mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
"Untuk makluman semua, polis menetapkan pasukan tangkapan, sekiranya ada dalam kalangan penonton ini yang melakukan sesuatu di luar batasan, norma manusia, bertindak ganas atau mencetuskan sebarang provokasi, (akan serta merta ditahan),” katanya pada sidang akhbar dan taklimat keselamatan Polis Diraja Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini pada Isnin.
Beliau berkata, penonton diminta untuk menikmati perlawanan itu dan tidak membuat sebarang kekacauan yang boleh mendatangkan huru-hara, sama ada pasukan yang disokong itu menang atau sebaliknya.
Muhammad Idzam berkata, penonton juga tidak dibenarkan membawa masuk barangan terlarang ke dalam stadium seperti mercun, bunga api, suar, topi keledar, pemancar laser, mancis, minuman keras, sebarang objek tajam dan dron yang tidak mendapat kebenaran.
Beliau berkata, penonton juga dinasihatkan agar sentiasa menjaga penjarakan fizikal di dalam stadium, memakai pelitup muka, menjaga tatasusila dan tidak melakukan sebarang provokasi melampau sehingga menimbulkan kekacauan sewaktu atau selepas perlawanan tersebut.
Muhammad Idzam berkata, seramai 20,000 penonton dijangka hadir ke stadium malam esok dan mereka yang tidak lengkap dua dos vaksinasi serta kanak-kanak di bawah 12 tahun, tidak dibenarkan memasuki stadium.
Katanya, bagi kelancaran lalu lintas menjelang perlawanan itu berlangsung, orang ramai dinasihatkan menggunakan pengangkutan awam ke Stadium Nasional Bukit Jalil, kerana parkir agak terhad sekali gus mengelakkan kesesakan.
"Elakkan melalui jalan-jalan sekitar Bukit Jalil jika tidak bertujuan menonton perlawanan bola sepak tersebut, patuhi arahan anggota polis bertugas dan pengguna jalan raya tidak dibenarkan sama sekali untuk meletakkan kenderaan di bahu jalan di sekitar laluan masuk dan keluar stadium,” katanya.
Menurutnya, tindakan saman dan tunda akan dilakukan terhadap kenderaan yang menghalang lalu lintas dan diharapkan semua pemandu mengamalkan sikap bersabar dan sopan semasa memandu.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau pertanyaan boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di talian 03-9205 0222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Perlawanan akhir Piala Malaysia yang menyambut ulang tahunnya ke-100 akan berlangsung 9 malam esok di Stadium Nasional Bukit Jalil di antara JDT dan KL City FC. - Bernama