Dua vaksin tempatan dalam proses ujian klinikal: Dr Adham

Iklan
Adham Baba

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang dalam proses menjalankan dua ujian klinikal terhadap vaksin yang dihasilkan dalam negara melalui penubuhan Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI), kata menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata, dua vaksin itu ialah vaksin kanser kepala dan leher atau 'nasopharyngeal cancer' dan vaksin kolera, yang masing-masing akan melalui ujian klinikal di United Kingdom dan India, seawal tahun depan.

Iklan
Iklan

"Kita juga kini dalam proses pembangunan vaksin Covid-19 yang sedang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dengan kerjasama Universiti Malaya.

"Kita yakin dengan adanya MGVI ini, Malaysia mampu menjadi hab pengeluaran vaksin yang dapat digunakan secara domestik dan juga dieksport ke luar negara," katanya dalam program Malaysia Petang Ini: Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari terbitan Bernama TV di sini pada Isnin.

Iklan

Pada 1 November lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) serta MGVI dalam usaha menjadikan negara sebagai antara hab pengeluar vaksin.

"MGVI akan menjadi sebuah badan yang menjalankan koordinasi antara pakar, industri dalam dan luar negara, serta pembangunan bakat yang perlu untuk menjadi tunjang kepada pembangunan vaksin di masa akan datang,” katanya.

Iklan

Dalam pada itu, Dr Adham berkata, peranti mudah alih saringan Covid-19, i-Breath yang kini memasuki fasa akhir praklinikal dijangka dapat dikomersialkan menjelang Jun tahun depan, selepas melalui ujian klinikal.

"I-Breath akan masuk ke fasa ujian klinikal yang terdiri daripada beberapa fasa dalam tempoh enam bulan, sebelum ia selesai dan boleh dikomersialkan dan dipasarkan.

"Kita harap ada pihak antarabangsa yang akan mendapatkan peranti ini untuk kegunaan mereka kerana kita menyasarkan penggunaan i-Breath ini bukan sahaja di peringkat domestik tetapi juga di peringkat antarabangsa," katanya.

MOSTI memperuntukkan dana sejumlah RM1.05 juta dalam pembangunan peranti i-Breath dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang boleh mengesan Covid-19 dengan sensitiviti sehingga 93 peratus dengan hanya perlu bernafas menggunakan peranti mudah alih itu. - Bernama