KUALA LUMPUR (KL) City FC lebih selesa tampil dengan status sebagai pasukan bukan pilihan apabila membuat perhitungan dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa.
Pengendali KL City, Bojan Hodak berkata, anak-anak buahnya akan turun beraksi tanpa tekanan dengan status itu memandangkan JDT diletakkan sebagai pasukan pilihan untuk sekali lagi bergelar juara.
Meskipun begitu, Bojan percaya The City Boys masih mampu menyaingi keampuhan JDT seterusnya mencipta kejutan menjulang Piala Malaysia selepas kali terakhir Kuala Lumpur muncul juara pada tahun 1989.
"Saya anggap status KL City sebagai pasukan bukan pilihan untuk memenangi perlawanan akhir ini sebagai satu kelebihan kerana pemain-pemain akan turun ke padang tanpa tekanan berbanding JDT yang rasa lebih tertekan.
"Sebab mereka mempunyai banyak kelebihan terutamanya dari segi bilangan pemain. Jika kita lihat pemain di bangku simpanan mereka juga merupakan pemain kebangsaan berbanding KL City.
"Tapi saya tidak anggap itu sebagai halangan untuk KL cipta kejutan. Malah, saya rasa ramai di luar sana mahu kami menang sebab kami pasukan underdog,” katanya dalam sidang media di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Isnin.
Mengulas kesebelasan utama KL City yang akan diturunkan berdepan Harimau Selatan nanti, Bojan berkata, beliau masih menilai prestasi setiap pemain.
Namun, Bojan yakin barisan pemain yang akan diturunkan mampu memberi saingan sengit kepada JDT yang memburu gelaran juara Piala Malaysia kali kedua berturut-turut.
"Saya masih mempunyai masa untuk menyenaraikan pemain. Tunggu saja siapa yang akan beraksi nanti kerana ketika ini ada pemain yang masih penat dan belum sembuh daripada kecederaan.
"Jadi saya harap pemain akan kembali pulih dan cergas. Saya selalu bercakap kepada pemain, cara terbaik untuk sembuh daripada kepenatan adalah dengan menjadi juara,” ujarnya.