Omicron: Thailand pertimbang batal guna kit ujian pengesanan pantas

Iklan
Thailand mempertimbangkan untuk membatalkan rancangan menggunakan kit ujian pengesanan pantas kepada pengembara lengkap vaksin Covid-19. - Foto Bernama

BANGKOK - Thailand sedang mempertimbangkan untuk membatalkan rancangan menggunakan kit ujian pengesanan pantas semasa ketibaan memandangkan semakin banyak negara mengesan varian Omicron, dan sebaliknya akan mengenakan sekatan perjalanan baharu bagi mencegah penularan varian itu.

"Ujian RT-PCR mungkin terus digunakan. Bagaimanapun, kami akan terus menyemak situasi itu,” kata penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Dr Apisamai Srirangsan, pada taklimat harian Covid-19 di sini pada Isnin.

Iklan
Iklan

Pada Jumaat, Thailand meluluskan rancangan untuk menggunakan kit ujian pengesanan pantas kepada pengembara lengkap vaksin Covid-19 bagi mempercepat proses kemasukan dalam usaha merancakkan semula sektor pelancongannya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Dr Satit Pitutecha berkata, tiada kes varian Omicron dikesan di Thailand setakat ini.

Iklan

Dr Satit telah mengarahkan agensi di bawah Jabatan Sains Perubatan untuk meningkatkan pengawasan bagi memastikan varian Omicron boleh dikesan dengan cepat.

"Bagaimanapun, varian itu mungkin dibawa masuk menerusi secara semula jadi dan merentasi sempadan dengan negara jiran, jadi berhati-hatilah,” katanya seperti dipetik The Nation.

Iklan

Pada Sabtu, Thailand turut mengenakan larangan ke atas pengembara dari lapan negara Afrika susulan penularan varian Omicron.

Sepanjang 24 jam lepas, Thailand merekodkan 4,753 kes baharu Covid-19 dan 27 kematian, jumlah kes dan kematian terendah dalam tempoh lima bulan.

Sehingga kini, Thailand merekodkan 2,111,566 kes Covid-19 dan 20,734 kematian. - Bernama