Sokongan kerajaan bantu usahawan muda bina perniagaan

Iklan
Muhammad Hanif menunjukkan produk makanan yang telah diinovasikan daripada makanan ringan popular dari Indonesia ketika ditemui di premisnya di Jalan Sultan Zainal Abidin di sini. - Foto Bernama

KUALA TERENGGANU - Seorang usahawan makanan, Muhammad Hanif Mat Zain tidak pernah menyesal memilih bidang perniagaan sebagai kerjaya biarpun memiliki segulung ijazah dalam bidang Sains Kimia.

Iklan
Iklan

Sebaliknya, anak muda yang berasal dari Batu Rakit, Kuala Nerus itu amat bersyukur dan menganggap ia satu keputusan tepat walaupun terpaksa menempuh pelbagai cabaran dan halangan sebelum perniagaan popia pisang (Popis) yang diinovasikan daripada makanan ringan popular Indonesia, dikenali serta diterima ramai.

Mengimbas detik awal berniaga, Muhammad Hanif, 28, berkata, beliau bermula dengan menjual karipap di gerai di hadapan rumah kakaknya selepas usaha mendapatkan pekerjaan dalam bidang sesuai menemui jalan buntu.

Iklan

"Saya memang tidak berhasrat untuk mencari pekerjaan di luar Terengganu kerana ingin dekat dengan keluarga dan juga tidak sukakan suasana sibuk seperti di Kuala Lumpur. Bagaimanapun agak sukar untuk mencari pekerjaan sebagai ahli kimia di sini (Terengganu), jika ada pun, peluangnya sangat terhad.

"Untuk mengisi masa lapang dan mencari duit poket, saya memilih untuk berniaga karipap dan menjadi wakil drop-ship (pesan hantar) seperti telekung dan pakaian, tetapi semuanya gagal sehingga membuatkan saya hampir berputus asa," katanya ketika ditemui Bernama di kedainya di sini.

Iklan

Katanya, beliau mendapat idea untuk menjual Popis ketika menikmati pisang goreng cheese dan teringat di Indonesia pula popular dengan popia pisang, maka hasil gabungan kedua-dua menu itu beliau memilih untuk menghasilkan Popis.

Muhammad Hanif berkata, berkat kesabaran, doa keluarga dan sokongan daripada agensi kerajaan seperti Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), beliau mampu ‘bertatih’ dan mengukuhkan jenama Popis yang mula dibina pada tahun 2016.

Produk popia pisang (Popis) yang telah diinovasikan daripada makanan ringan popular dari Indonesia oleh Muhammad Hanif ketika ditemui di premisnya di Jalan Sultan Zainal Abidin di sini. - Foto Bernama

Menurut graduan Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu, Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) umpamanya amat membantu para peniaga tempatan memperkenalkan jenama produk masing-masing, sekali gus melonjakkan lagi jumlah jualan terutama selepas terjejas teruk akibat penularan pandemik Covid-19.

"Selain itu, Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) juga sangat bagus dalam mendidik rakyat supaya lebih peka dan menghargai produk keluaran tempatan yang berkualiti. Secara tidak langsung ia menyemai semangat patriotisme dalam diri masing-masing sekali gus membina rantaian ekonomi dalam negara yang lebih kukuh dan tersusun.

"Saya sebenarnya sangat teruja untuk menyertai karnival atau kempen sebegini yang diadakan oleh KPDNHEP di pasar raya atau pusat beli-belah di seluruh negara kerana ia akan memberi manfaat besar kepada usahawan kecil seperti saya,” katanya yang masih belum berkeluarga.

Selain itu, Muhammad Hanif berkata, beliau juga amat beruntung kerana terpilih menyertai program Usahawan Graduan Terengganu Sejahtera (U-GATES) anjuran YPU pada tahun 2018.

Produk popia pisang (Popis) yang telah diinovasikan daripada makanan ringan popular dari Indonesia oleh Muhammad Hanif. - Foto Bernama

Katanya, melalui program tersebut banyak ilmu berkaitan perniagaan dapat dipelajari terutama dalam pengurusan kewangan, sumber manusia dan risiko luar jangka yang menentukan jatuh bangun sesebuah perniagaan.

Malah, geran sebanyak RM12,000 yang diterima melalui program itu juga digunakan untuk membeli peralatan memasak yang lebih moden bagi memudahkan proses penyediaan serta meningkatkan kualiti produk popia pisangnya supaya lebih diterima di pasaran.

"Permulaan saya dalam bidang ini adalah secara bidan terjun...kosong. Langsung tidak ada asas. Oleh itu pelbagai kursus dalam masa setahun yang diberikan sangat-sangat membantu saya menguruskan perniagaan dengan lebih teratur dan sistematik.

"Nasihat saya kepada usahawan baharu, sentiasalah merujuk dan mendapatkan bantuan daripada agensi kerajaan berkaitan kerana mereka lebih pakar dan sentiasa sedia membantu,” katanya yang memiliki dua cawangan Popis iaitu di Batu Rakit dan Kuala Terengganu.

Muhammad Hanif berkata, beliau bercita-cita untuk membuka enam lagi cawangan di enam daerah untuk memberi peluang kepada lebih ramai masyarakat menikmati rasa popia pisang yang unik dan lazat itu.

"Saya menerima banyak permintaan daripada kawan-kawan yang berminat untuk menjadi rakan francais. Tetapi buat masa ini saya belum terbuka hati kerana jenama kami belum betul-betul kukuh dan masih perlu banyak penambahbaikan,” katanya yang telah mempatenkan jenama Popis dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO). - Bernama