Pembukaan semula sekolah diterima baik ibu bapa, murid

Iklan
Mohd Radzi Md Jidin

KUALA LUMPUR - Pembukaan semula sekolah bermula 3 Oktober hingga 29 November lalu secara umumnya diterima baik oleh ibu bapa dan murid.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, berdasarkan rekod Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), purata trend kehadiran murid ke sekolah bagi tempoh berkenaan melebihi 85 peratus.

Iklan
Iklan

"Keadaan ini menunjukkan bahawa pembukaan semula sekolah secara umumnya diterima baik oleh ibu bapa dan murid.

"Pembukaan semula sekolah secara bersemuka juga membolehkan guru mengenal pasti tahap penguasaan murid dan melaksanakan intervensi yang bersesuaian,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Abdul Latiff Abdul Rahman (Pas-Kuala Krai) yang meminta kementerian menyatakan perkembangan terkini pengoperasian sekolah di seluruh negara sejak pembukaan secara berperingkat pada 3 Oktober lalu.

Mengulas lanjut, Mohd Radzi berkata, KPM sentiasa memantau keadaan semasa pengoperasian sekolah secara bersemuka.

Iklan

Secara keseluruhan, katanya, bilangan sekolah yang sedang beroperasi ialah sebanyak 10,060 buah melibatkan seramai 4,385,281 orang murid.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Abdul Latiff mengenai perancangan KPM untuk memansuhkan sistem penggiliran ke sekolah susulan kes jangkitan yang semakin menurun ketika ini, Mohd Radzi berkata, perkara itu sedang diteliti.

"Berkenaan soalan Yang Berhormat mengenai bilakah kita boleh kembali ke sekolah tanpa penggiliran, perkara itu sedang kita teliti meliputi semua aspek sama ada kebaikan dan keburukan,” jelas beliau.