SEBANYAK 40 bas penyokong setia Johor Darul Ta'zim (JDT) bertolak dari pekarangan Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru menuju Stadium Nasional Bukit Jalil pada jam 10 pagi Selasa.
Konvoi disertai lebih 500 penyokong JDT terutama dari sekitar daerah ini bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Kuala Lumpur City FC pada malam Selasa.
Presiden Kelab Penyokong Bolasepak Johor Darul Takzim atau Johor Fans Club, Azman A Jalil berkata, konvoi itu juga akan disertai beberapa persatuan penyokong JDT yang lain seperti Boys of Straits.
"Mereka tidak melepaskan peluang untuk memberikan sokongan padu kepada pasukan kesayangan yang berentap mempertahankan gelaran juara yang dimenangi pada edisi musim 2019.
"Walaupun aksi final diadakan pada hari bekerja, namun para penyokong setia JDT sanggup berkorban bagi memberikan sokongan tak berbelah bahagi kepada Skuad Harimau Selatan.
"Kami berharap JDT tidak berdepan masalah untuk muncul juara dan tidak pulang dengan tangan kosong. Apa-apa pun keputusannya, kami akan menjadi pemain ke-12 yang kuat memberi sokongan kepada JDT," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Azman berkata, mereka yakin penyokong JDT dari daerah lain turut berkonvoi ke Kuala Lumpur untuk menyaksikan perlawanan penting itu cuma tidak mengetahui jumlah bas dan kenderaan lain yang terlibat.
Katanya, aktiviti itu menjadi satu kemestian buat kelab penyokong tersebut setiap kali skuad Harimau Selatan berentap di pentas final.
"Peluang menyaksikan perlawanan akhir ini pastinya menjadi memori indah lebih-lebih lagi pada musim ini kebanyakan perlawanan dilangsungkan tanpa kehadiran penyokong di stadium," ujarnya.