JOHOR BAHRU - Sebanyak 72 notis dikeluarkan kepada peniaga sayur-sayuran di beberapa premis sekitar bandar raya ini kerana disyaki menjual barangan keperluan itu pada harga yang mahal.
Exco Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Chong Fat Full berkata, kesemua peniaga itu dikesan menerusi operasi khas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri ini sejak Januari lalu.
"Hasil pemeriksaan operasi ini sejak Januari lalu, sebanyak 72 notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 telah dikeluarkan kepada peniaga sayur bagi membantu siasatan.
"Selain itu, 10 aduan yang diterima KPDNHEP Johor berkaitan kenaikan harga barang juga telah selesai disiasat dan dikenakan kompaun di bawah akta yang sama,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.
Fat Full berkata, pihaknya bersama agensi berkaitan sentiasa peka berhubung isu kenaikan harga barangan terbabit yang menyaksikan pelbagai langkah kawalan telah dibuat dari semasa ke semasa.
Katanya, usaha itu turut dibuktikan apabila sebanyak 6,854 premis telah selesai diperiksa hanya dalam tempoh ketika peralihan fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Oktober lalu.
"Jumlah ini juga turut meliputi pemeriksaan ke atas 5,257 peruncit, 1,120 pemborong dan 477 pengilang di seluruh daerah di negeri ini.
"Pemeriksaan dibuat dengan memeriksa maklumat harga dan kos barangan di peringkat pembekalan barang melibatkan peruncit (pasar basah, pasar awam dan pasar raya) dan pembekal (peladang, pengeluar dan pengimport agar tidak menaikkan harga sesuka hati,” katanya.