Skim insurans kepada warga emas perlu diperinci

Iklan
Siti Zailah - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) perlu memperincikan cadangan untuk menyediakan skim insurans yang akan memberikan bantuan kewangan kepada warga emas bagi menampung kos sara hidup mereka pada masa hadapan.

Timbalan menterinya, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, ini kerana perkara itu perlu diperincikan pada peringkat Jawatankuasa Kerja Insurans Sosial di bawah Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) yang diterajui oleh Kementerian Kewangan.

Iklan
Iklan

"Walau bagaimanapun, selain pendekatan penyediaan program insurans sosial, KPWKM berpandangan bahawa peranan keluarga perlu diperkukuhkan bagi meningkatkan kesejahteraan ahli keluarga.

"Ia selaras dengan tahap kebertanggungjawaban terhadap keluarga, membudayakan amalan ihsan yang memupuk semangat kebersamaan keluarga, memastikan suasana harmoni dapat dikecapi keluarga serta menyemai sikap berkhidmat kepada keluarga bagi membantu ahli yang memerlukan bantuan seperti yang diterapkan dalam pendekatan ‘Keluarga Malaysia’,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Rubiah Wang (GPS-KOta Samarahan) yang meminta kementeriannya menyatakan inisiatif dan pertimbangan kementerian menyediakan skim insurans yang akan memberikan bantuan kewangan kepada warga emas bagi menampung kos sara hidup mereka pada masa hadapan.

Mengulas lanjut, Siti Zailah berkata, dalam usaha untuk memastikan kelangsungan hidup warga emas pada masa ini, KPWKM menyediakan kemudahan kewangan berbentuk bantuan bulanan kepada warga emas yang berkelayakan iaitu Bantuan Warga Emas (BWE) di bawah kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Iklan

"BWE ini diberikan kepada warga emas yang memenuhi kriteria yang ditetapkan untuk meneruskan kelangsungan dan kesejahteraan kehidupan dalam komuniti. Sehingga Oktober 2021, jumlah penerima BWE adalah seramai 137,793 orang,” katanya.