Menteri KPDNHEP ‘diserang’ gara-gara harga barang naik

Iklan
Alexander menjawab soalan pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sempena Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen pada Selasa.

KUALA LUMPUR - Isu kenaikan harga barang menghangatkan persidangan Dewan Rakyat sesi pagi pada Selasa apabila Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi ‘diserang’ beberapa ahli Parlimen pembangkang.

Suasana panas itu bermula ketika Lim Guan Eng (PH-Bagan) bangkit mempersoalkan sama ada Alexander sedia bertanggungjawab sekiranya isu kenaikan harga barang tidak dapat ditangani sehingga 9 Disember ini.

Iklan
Iklan

Jelas Guan Eng, ini kerana dalam satu temu bual bersama sebuah akhbar berbangsa Inggeris pada 25 November lalu, menteri berkenaan menyatakan kesediaan untuk bertanggungjawab jika isu berkenaan tidak dapat diselesaikannya.

Menjawab kepada persoalan yang dibangkitkan Guan Eng, Alexander berkata, beliau tidak mempunyai masalah untuk bertanggungjawab, namun isu kenaikan harga barang ketika ini bukan di bawah tanggungjawab kementeriannya semata-mata.

Iklan

"Saya boleh bertanggungjawab tidak ada (tiada masalah). Tetapi masalah bagi saya, mungkin 9 Disember tidak selesai kerana beberapa sebab. Ini kerana perkara ini agak kompleks dan ia bukan terletak sepenuhnya di bawah kementerian saya.

"Kalau kita hendak berjanji letak jawatan, Port Dickson (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pun pernah kata kalau kita menang (Pakatan Harapan), harga minyak akan turun, tapi tidak turun pun. (Ahli Parlimen) Iskandar Puteri pun cakap perkara sama, saya akan undur dia kata. Kalau kita hendak berpolitik (boleh sahaja) tapi saya terima baik pandangan Yang Berhormat Bagan,” katanya.

Iklan

Keadaan bertambah panas apabila Ahmad Fadhi Shaari (Pas-Pasir Mas) bangkit bertanyakan soalan tambahan kepada Alaxendar dan dalam masa sama memuji jawapan yang diberikan menteri berkenaan.

Tidak berpuas hati dengan ‘pujian’ yang diberikan Ahmad Fadhli, blok pembangkang turut ‘menyerang’ beliau dengan mendakwa Ketua Pemuda Pas itu seolah-olah bersetuju dengan kenaikan harga barang ketika ini.

Situasi itu berlanjutan beberapa minit sebelum Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon memaklumkan sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri telah tamat.

Bagaimanapun, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) bangkit mencelah mengatakan bahawa isu kenaikan harga barang adalah isu kecemasan yang perlu diselesaikan segera.

"Saya hargai menteri jawab, perancangan sebegitu, sebegini. Saya kata masalahnya sekarang mesti ada satu langkah tindakan segera. Jadi Speaker kena bagi kelonggaran ini (benarkan masa lebih panjang) dengan benarkan menteri bagi penegasan kita bukan (mahu tahu) ada rancangan dua bulan. lagi. Tidak. Sekarang ini kita hendak tahu apa langkah (segera) bukan sahaja kementerian tapi seluruh kerajaan selesaikan masalah ini,” katanya.

Mohd Rashid, kemudian membenarkan Alexander memberi jawapan sekali lagi untuk membolehkan persoalan yang dibangkitkan dijawab segera.