IMEJ yang memaparkan wajah Duchess of Cambridge, Kate Middleton dalam keadaan ‘lebam’ mencetuskan kekecohan dalam kalangan warganet.
Foto isteri Duke of Cambridge, Putera William itu yang turut dipenuhi 'luka' dan 'parut' didakwa digunakan dalam iklan sosial berkaitan keganasan rumah tangga.
Bagaimanapun, media tempatan melaporkan gambar berkenaan digunakan tanpa kebenaran.
"Dia melaporkan... tetapi tiada siapa yang mempercayainya, malah dia ditinggalkan sendirian.
"Dia juga tidak dilindungi, tetapi dia (lelaki) itu tidak dihalang. Malah, ia pula dibunuh,” demikian tulis kapsyen iklan tersebut.
The Sun melaporkan, poster tersebut kelihatan ditampal di perhentian bas dan bangunan di Itali dan Sepanyol.
Selain gambar Kate, 39, kempen iklan sosial itu turut menggunakan imej Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Kamala Harris; Permaisuri Sepanyol, Ratu Letizia; Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula Von Der Leyen serta Presiden Bank Pusat Eropah, Christine Lagard.
Menurut pelukis Itali, AleXsandro Palombo yang menghasilkan kempen iklan sosial tersebut, tujuan dia berbuat demikian adalah untuk ‘menarik perhatian (ahli) politik' berhubung respons teruk yang diberikan terhadap masalah keganasan melibatkan jantina.
Keadaan itu, dakwanya menonjolkan ketidakberkesanan sistem sokongan dan perlindungan kepada mangsa.
Bagaimanapun, tindakan tersebut menimbulkan reaksi kurang senang dalam kalangan warganet yang menyifatkan ia bukan satu bahan jenaka.
"Kamu jangan main-main... jangan gunakan imej wanita tanpa kebenaran mereka,” tulis seorang pengguna media sosial.
Selain itu, rata-rata warganet mendesak agar iklan tersebut segera diturunkan. - Awani