VTL Darat buka jalan lebih banyak kategori pengembara

Iklan
Pengembara VTL Darat menunggu giliran menaiki bas ketika tinjauan sempena Pembukaan VTL Darat, pada Isnin. - Foto Bernama

JOHOR BAHRU - Kejayaan pelaksanaan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) Darat semalam dilihat boleh"membuka jalan” bagi pembukaan lebih banyak kategori pengembara melalui laluan berkenaan pada masa terdekat.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, di pihak kerajaan Johor misalnya, tidak menghadapi masalah dari segi mematuhi keperluan-keperluan untuk pembukaan sempadan Malaysia-Singapura melalui Tambak Johor dan Linkedua.

Iklan
Iklan

"Semua itu (kejayaan semalam) adalah satu gambaran pembukaan sempadan akan dapat ditingkatkan lagi dalam masa terdekat,” kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Serahan Sumbangan Kepada Persatuan Cerebral Palsy Johor yang diadakan di bangunan persatuan itu, di sini pada Selasa.

Hasni berkata demikian sebagai mengulas mengenai hari pertama pelaksanaan VTL darat yang menggunakan perkhidmatan bas, bermula dari Terminal Bas dan Pengangkutan Awam Larkin Sentral ke Singapura melalui Tambak Johor.

Iklan

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong telah berbincang mengenai langkah-langkah tambahan yang akan dilakukan oleh kedua-dua negara berhubung perjalanan rentas sempadan antara Malaysia dan Singapura.

Antaranya memasukkan semua kategori pengembara untuk VTL Darat, tertakluk kepada keperluan kesihatan yang ditentukan oleh kedua-dua negara; memasukkan laluan perkhidmatan bas tambahan melalui Link Kedua dan kereta api yang dikendalikan oleh Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTM); serta membenarkan secara berperingkat melibatkan kenderaan peribadi seperti motosikal dan kereta.

Iklan

Sementara itu, merujuk kepada projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) pula, Hasni menjelaskan, kerajaan negeri terbuka dan menyokong apa juga langkah serta usaha untuk membincangkan tentang pembangunan HSR.

Bagaimanapun beliau berharap perbincangan seharusnya bermula dari awal untuk membentuk perjanjian baharu dan bukan melihat semula perjanjian dahulu ataupun meminda perjanjian sebelum ini memandangkan perjanjian sebelum ini telahpun ditamatkan.

"Kerajaan negeri akan menyokong apa juga langkah dan usaha untuk membincangkan tentang pembangunan HSR ini, tidak kiralah sama ada ia berhenti di Johor atau Kuala Lumpur ke Singapura kerana Johor akan mengambil sepenuh peluang yang ada bila HSR ini dapat dibangunkan.

Semalam, Perdana Menteri Singapura berkata, republik itu terbuka menerima cadangan baharu dari Malaysia berkaitan projek HSR Kuala Lumpur-Singapura walaupun kedua-dua negara itu sebelum ini telahpun bersetuju untuk menamatkan projek tersebut.

Pada 1 Januari tahun ini, kedua-dua negara dalam satu kenyataan bersama mengumumkan penamatan projek HSR apabila kedua-duanya gagal mencapai persetujuan bagi perubahan yang dicadangkan Malaysia sebelum perjanjian projek itu luput pada 31 Disember, 2020. - Bernama