JOHANNESBURG - Pemimpin-pemimpin selatan Afrika menyuarakan kekesalan terhadap keputusan beberapa negara yang menyekat perjalanan sebilangan negara anggota Komuniti Pembangunan Afrika Selatan (SADC) ekoran varian Covid-19 Omicron.
"Larangan perjalanan sepihak (unilateral) yang kini dikenakan ke atas negara-negara SADC oleh United Kingdom, Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat dan lain-lain adalah tidak wajar.
"Langkah Covid-19 mesti bersandarkan kepada sains bukannya Afrophobia,” kata Presiden Malawi, Lazarus Chakwera selaku pengerusi SADC dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya pada Isnin.
Sementara itu, Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa turut menyelar langkah sekatan perjalanan itu yang disifatkannya tidak adil, lapor Agensi Anadolu (AA).
"Kita mesti bantah sekatan perjalanan yang tidak wajar dan tidak saintifik yang hanya merugikan ekonomi," kata Ramaphosa ketika berucap di Forum Kerjasama China-Afrika (FOCAC) di Dakar, Senegal.
Antara negara di selatan Afrika yang dikenakan larangan perjalanan termasuk Afrika Selatan, Namibia, Lesotho, Botswana, Eswatini, Malawi, Zimbabwe dan Mozambique.
Ramaphosa berkata kemunculan varian Omicron sewajarnya menjadi peringatan kepada dunia bahawa ketidaksamaan agihan vaksin tidak boleh dibiarkan berterusan.
"Sehingga semua orang diberi vaksin, semua orang akan berisiko. Sehingga semua orang diberi vaksin, kita perlu menjangkakan lebih banyak varian akan muncul,” katanya. - Bernama