KUALA LUMPUR - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) sedang memperhalusi permohonan pekebun kecil bagi mendapatkan geran menerusi skim penanaman baharu kelapa sawit yang diluluskan dalam Bajet 2022.
Timbalan Menterinya, Datuk Willie Mongin berkata, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM35 juta di bawah Bajet 2022 untuk membantu pekebun kecil memulakan penanaman baharu mereka.
Iklan
Iklan
"Permohonan (pekebun kecil) di bawah skim tersebut sedang diperhalusi,” katanya pada sidang akhbar di Parlimen pada Selasa.
Willie berkata, selain peruntukan geran itu, kerajaan juga akan memberikan benih klon kelapa sawit berkualiti serta baja bagi membolehkan pekebun kecil meningkatkan hasil kebun mereka.
Beliau sebelum itu mengadakan sesi taklimat bersama ahli Parlimen bagi membentangkan prestasi sektor agrikomoditi negara.
Dalam pertemuan tersebut, Willie berkata, KPPK mengambil maklum beberapa cadangan ahli Parlimen untuk memperkasakan sektor agrikomoditi dalam menambah baik strategi dan program yang dibuat untuk pekebun kecil di seluruh negara.
"Sesi taklimat ini merupakan sesi libat urus yang dilaksanakan oleh kementerian untuk memberi pendedahan mengenai hala tuju pencapaian, isu dan cabaran dalam sektor agrikomoditi serta mendapatkan input untuk menambah baik strategi dan program kementerian dan dalam hal ini penglibatan ahli Parlimen adalah penting dalam usaha untuk menambah baik strategi dan program secara terusan,” katanya. - Bernama