KWP sasar sifar miskin tegar di Kuala Lumpur

Iklan
Shahidan Kassim

KUALA LUMPUR - Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menyasarkan sifar miskin tegar di Kuala Lumpur pada bulan depan dengan tumpuan bantuan diberi kepada 4,427 keluarga yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bandar raya ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, pihaknya kini sedang berusaha ke arah itu dan sudah berbincang dengan pihak Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan bagi menyalurkan bantuan kepada keluarga terbabit.

Iklan
Iklan

"Kami sudah bincang dengan Baitulmal supaya melihat hal ini sebagai keutamaan kerana berdasarkan jumlah pembayar zakat dan jumlah kutipan cukai tidak wajar ada miskin tegar di bandar raya ini.

"Insya-ALLAH, Disember ini kita akan lihat bagaimana miskin tegar di Wilayah Persekutuan ini dapat disifarkan. Kita tidak mahu yang ada ini berada di tahap sedemikian rupa kerana ada jurang antara golongan berpendapatan tinggi dan rendah,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata, golongan miskin tegar di bandar lebih sukar berbanding golongan sama di luar bandar kerana mereka mengharungi kehidupan lebih mencabar terutama dari segi kos sara hidup yang lebih tinggi.

Shahidan sebelum itu menyerahkan cek Skim Biasiswa Pengajian Tinggi berjumlah RM555,112.50 kepada 18 pelajar Ijazah Sarjana Muda dan Skim Bantuan Awal Institut Pengajian Tinggi (IPT) secara sekali beri kepada 71 pelajar berjumlah RM63,000.

Iklan

Beliau turut menyerahkan cek Skim Prihatin Yayasan Wilayah Persekutuan kepada 13 keluarga waris yang meninggal dunia berjumlah RM17,500. - Bernama