PUTRAJAYA - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mempertimbang cadangan agar pemaju projek perumahan bertingkat membina penghadang lebih tinggi bagi mengelakkan berlakunya kes kanak-kanak terjatuh dari bangunan.
Timbalan Menteri, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib berkata, cadangan tersebut perlu diteliti dengan pelbagai pihak kerana ia melibatkan kos tambahan.
"Di bawah KPKT terdapat 14 agensi lain yang terlibat dalam isu perumahan negara termasuk kerajaan negeri dan kesemua mereka turut diminta mengambil perhatian mengenai cadangan berkenaan," katanya.
Menurut beliau, negara akan kehilangan kehidupan pelapis pemimpin pada masa hadapan sekiranya isu tersebut tidak diberi tumpuan.
"Untuk keselamatan kanak-kanak ia perlu dibincangkan," katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PJH).
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim pada Isnin mengusulkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk memastikan pemaju projek perumahan bertingkat atau berstrata supaya mengutamakan keselamatan penghuni, terutama menambah baik aspek pembinaan penghadang yang lebih tinggi.
Pada 16 November, seorang kanak-kanak perempuan empat tahun ditemui maut selepas terjatuh dari kediamannya di tingkat 29 di sebuah kondominium di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.
Kejadian sama berulang pada keesokan harinya dengan kes kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang dipercayai terjatuh dari tingkat 16 di sebuah kondominium di Batu Caves, Gombak.
Turut menjadi bahan berita baru-baru ini, perbuatan seorang kanak-kanak perempuan memanjat jeriji besi rumahnya sebelum berdiri di luar balkoni.
ARTIKEL BERKAITAN: Budak jatuh tingkat 16: Ibu saudara direman tujuh hari