MANILA - Drama politik Filipina semakin panas apabila sekutu rapat Presiden Rodrigo Duterte menarik diri daripada bertanding pada Pilihan Raya Presiden 2022.
Senator Christopher 'Bong' Go sekali lagi mengubah keputusannya pada Selasa selepas pembantu kanan Duterte, 76, itu yang pernah menyuarakan hasratnya mahu bertanding jawatan Naib Presiden menukar pencalonan untuk merebut jawatan tertinggi, dua hari sebelum tarikh akhir pada 15 November lalu.
"Keluarga saya tidak merestui. Oleh itu, saya fikir belum masanya mahu bertanding," ujarnya sambil menambah keputusan itu juga adalah kerana mahu mengelakkan masalah lebih besar kepada Duterte yang dianggap lebih daripada seorang bapa.
Menurutnya, beliau akan terus menyatakan taat setia kepada Duterte yang dilarang bertanding untuk penggal kedua sebaliknya mencalonkan dirinya sebagai senator.
"Sejak beberapa hari lalu, fikiran dan hati saya seakan-akan bercanggah dengan tindakan saya sendiri," katanya.
Sebelum ini, beberapa penganalisis melihat Go berpeluang untuk menang pada pemilihan Mei 2022 dan bakal melindungi Duterte daripada sebarang jenayah termasuk difailkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap kempen antidadah beliau.
Ketika ini, keputusan tinjauan terbaharu menunjukkan Ferdinand 'Bongbong' Marcos Jr mendahului perebutan untuk jawatan Presiden disusuli Leni Robredo, Datuk Bandar, Francisco Domagoso dan bekas petinju, Manny Pacquiao.
Tindakan Go menarik diri dijangka memberi peluang lebih besar kepada pakatan Marcos Jr dan Sara Duterte-Carpio yang turut mencalonkan dirinya untuk jawatan Naib Presiden pada saat akhir.
Keputusan mengejut Go itu dibuat kira-kira seminggu selepas sebahagian besar individu bertanding melakukan ujian dadah setelah Duterte mendakwa ada calon yang mengambil kokain. - AFP