SEPANG - Pelantikan penasihat agama kepada Perdana Menteri tidak menyebabkan pertindihan peranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal agama.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Idris Ahmad berkata, beliau percaya penasihat agama untuk Perdana Menteri mempunyai peranan bidang lain yang berbeza.
"Mungkin penasihat agama ada bidang yang lain. itu dilantik oleh Perdana Menteri sendiri.
Benda ini bukan baru, dari dahulu dah ada.
"Mungkin penasihat agama baru dilantik tersebut ada peranan bidang yang lain.
Oleh sebab itu, pelantikan dibuat oleh Perdana Menteri sendiri. Perkara ini bukan baru,"
"(Peranan) saya lebih kepada pengurusan, soal pentadbiran dan menjadi penyelaras.
Insya-ALLAH tidak berlaku pertindihan (peranan) dengan penasihat agama baru dilantik tersebut," katanya ketika ditemui pemberita selepas melepaskan 228 jemaah Umrah pertama AMAL, Malaysia Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, pada Selasa.
Sebelum ini media melaporkan Ketua UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dilantik sebagai penasihat agama kepada Perdana Menteri selain dua lagi penasihat iaitu dalam bidang kesihatan serta undang-undang dan hak asasi manusia.
Jamil Khir dilaporkan mengesahkan lantikan tersebut manakala, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai penasihat undang-undang dan hak asasi manusia.
Ditanya sama ada beliau dimaklumkan terlebih dahulu berhubung pelantikan tersebut, Idris berkata, ia (lantik) adalah hak perdana menteri.
Pada masa sama Idris enggan mengulas berhubung bayaran bulanan yang didakwa membabitkan kos sehingga RM150,000 untuk tiga penasihat yang dilantik itu.
"Wallahualam.
Soal gaji tidak pernah dimaklumkan kepada saya," kata beliau.