JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Selasa menzahirkan kekesalan terhadap pemandangan Sungai Danga di sini yang dicemari pelbagai sampah sarap yang mengotori sepanjang lembangan sungai itu.
Justeru, baginda menitahkan kerajaan negeri dan Exco Kesihatan dan Alam Sekitar, R Vidyanathan memberi perhatian dalam menangani masalah pembuangan sampah di sungai-sungai di negeri ini.
Iklan
Iklan
"Exco Kesihatan dan Alam Sekitar sila ambil perhatian perkara ini, jangan tengok masalah kesihatan sahaja, manakala penjagaan alam sekitar juga penting untuk kehidupan rakyat.
"Kerja-kerja perlu dilakukan secara berterusan begitu juga aspek penguatkuasaan dan pemantauan. Jangan tunggu hingga ditegur, baru kerja hendak dijalankan,” titah baginda dalam Royal Press Office pada Selasa.
Sultan Ibrahim sebelum itu turut berkenan mencemar duli melakukan rondaan di sekitar Sungai Danga di sini dengan mengemudi sendiri bot milik baginda kira-kira jam 9 pagi pada Selasa.
Sultan Ibrahim bertitah, baginda juga mahu Vidyanthan segera menyediakan laporan berhubung punca masalah pencemaran sampah sarap di sungai-sungai.
"Banyak peruntukan disalurkan kepada agensi dan jabatan yang bertanggungjawab menjaga sungai dan alam sekitar, namun tiada kesan,” titah baginda.