HANYA seminggu sebelum bermulanya Kejohanan Skuasy Berpasukan Dunia Lelaki 2021 dijadual pada 7 hingga 11 Disember ini, Persekutuan skuasy Dunia (WSF) dan Persatuan Raket skuasy Malaysia (SRAM) memutuskan untuk membatalkan kejohanan itu.
WSF dalam kenyataan berkata, keputusan itu dibuat kerana kemungkinan beberapa negara, dilaporkan Israel, tidak dapat bertanding kerana tidak dapat pengesahan visa dan kebenaran perjalanan oleh pihak berkuasa Malaysia kerana badan induk sukan itu percaya kepada kejohanan yang terbuka dan inklusif.
Selain itu, WSF dan SRAM turut bimbang mengenai varian baharu Covid-19 - Omicron yang dilaporkan menular di beberapa negara dan kemungkinan akan memberi kesan kepada keupayaan beberapa pasukan melakukan perjalanan ke Malaysia untuk menyertai kejohanan tersebut.
Presiden WSF, Zena Wooldridge berkata, badan dunia itu amat kecewa dengan pembatalan tersebut, selepas bekerja keras dengan SRAM untuk menganjurkan acara berkenaan walaupun berdepan pandemik global, termasuk memindahkan acara itu dari Tauranga di New Zealand ke Pusat Skuasy Nasional di Bukit Jalil.
Beliau juga menyampaikan penghargaan kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) atas usaha mereka membantu WSF dan SRAM untuk menganjurkan kejohanan dunia itu mengikut prinsip dan peraturan Piagam Olimpik.
"Saya merakamkan penghargaan kepada IOC dan OCM atas usaha mereka untuk mempengaruhi pihak berkuasa tertinggi Malaysia bagi memastikan kesemua pasukan termasuk Israel dapat memasuki Malaysia dan bertanding, tanpa sebarang diskriminasi politik. Adalah penting bagi WSF memastikan tiada negara yang ingin bertanding terlepas acara tersebut.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada SRAM dan Presidennya Gerard Monteiro atas kerja keras yang telah mereka lakukan untuk merancang acara itu sebelum keputusan ini dibuat. Tumpuan kami kini beralih ke arah 2022 dan kami akan bekerjasama rapat dengan Persekutuan Negara Anggota kerana kami mahu menyusun kalendar acara yang mantap pada tahun depan,” katanya.
Kejohanan dunia itu sepatutnya menjadi pertandingan ketiga anjuran SRAM, selepas Terbuka Malaysia 2021 minggu lalu dan Kejohanan Skuasy Berpasukan Asia yang sedang berlangsung mulai Selasa hingga 4 Disember.
Media asing sebelum ini melaporkan Persatuan skuasy Israel mengancam untuk membawa WSF ke Mahkamah Timbang Tara Sukan di Switzerland jika badan induk itu gagal menyelesaikan perkara tersebut.
Memandangkan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, ia bukanlah kali pertama kontroversi berkaitan acara sukan timbul sejak beberapa tahun kebelakangan ini, walaupun beberapa atlet dan perwakilan Israel telah dibenar menyertai pertandingan dan acara sebelum ini.
Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) telah melucutkan hak penganjuran Kejohanan Renang Para Dunia 2019 d Kuching kerana tidak membenarkan perenang para Israel menyertai kejohanan itu yang berlangsung pada kelayakan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 manakala Kongres FIFA 2017, platform untuk memilih tuan rumah Piala Dunia 2026 juga telah dipindahkan. - Bernama