Manfaatkan kempen 'Kebun Kita', tanam buah dan sayur

Iklan
Saarani bersama Norsiyenti menimbang hasil tuaian sayur kubis tanah rendah dan kailan dari Petak Promosi Kebun Kita (Pertanian Bandar) di Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak di sini pada Selasa.

IPOH - Rakyat Perak digalak memanfaatkan kempen 'Kebun Kita' dengan mengusahakan tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran di kawasan rumah bagi mengimbangi kenaikan harga sayur sejak beberapa minggu lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kempen yang digerakkan kerajaan negeri melalui Jabatan Pertanian sejak awal tahun itu telah memperuntukkan lebih RM3.1 juta bagi bantuan projek individu dan komuniti.

Iklan
Iklan

Menurutnya, menerusi kempen itu, setiap individu dibekalkan dengan barangan seperti pasu, benih, tanah baja, biopestiside dan bahan tanaman berserta manual tanaman, manakala peserta komuniti pula set sistem fertigasi, baja, tanah, planter box, biopestiside dan lain-lain set perkebunan.

"Harga barangan terutama sayuran meningkat kerana bekalan yang ada ketika ini kurang, sedangkan permintaan tinggi daripada pengguna. Situasi berbeza jika kita tanam sendiri.

Iklan

"Lagipun bukan susah untuk kita tanam di kawasan rumah dalam pasu atau sebagainya. Selain membantu menghijaukan bumi, usaha ini juga dapat memberi pulangan mengurangkan perbelanjaan dapur dan menurunkan kos sara hidup," kepada pemberita selepas merasmikan Petak Promosi Kebun Kita (Pertanian Bandar) di Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah Pertanian Perak, Norsiyenti Othman.

Iklan

Saarani berkata, kempen 'Kebun Kita' bertepatan sekali dengan slogan ‘tanam apa yang kita makan, makan apa yang kita tanam, selebihnya kita boleh jual atau bersedekah’.

"Atas faktor itu kerajaan negeri amat menggalakkan orang ramai untuk menyertai kempen ini, sekurang-kurangnya tanam apa yang hendak kita makan," katanya

Beliau berkata, kempen itu secara keseluruhan menyasarkan sejumlah 7,657 individu dan 147 komuniti dengan jumlah keseluruhan 9,127 isi rumah.

Katanya, jika satu rumah mempunyai empat isi rumah, bermakna program berkenaan memberi manfaat kepada lebih 36,508 rakyat di seluruh negeri Perak.

"Inisiatif kempen ini bertujuan menggalak dan membudayakan rakyat negeri Perak untuk menanam sendiri sayur-sayuran dan buah-buahan di halaman rumah.

"Kita berharap usaha ini dapat mencetuskan kecintaan masyarakat terhadap bidang pertanian, bermula dengan mengusahakan ‘kitchen garden’ atau taman sayur di halaman masing-masing," katanya.

Sementara itu, Saarani berkata, tanaman di Petak Promosi itu merupakan pusingan tanaman kedua melibatkan tanaman markisa, petola, kangkung, bayam brazil, cili padi, terung dan kubis tanah rendah.

"Pusingan pertama dulu telah ditanam dengan markisa, petola, timun, kangkung, bayam brazil, sawi, kailan, pakchoy, terung dan cili merah dengan hasil tuaian mencecah hampir 200 kilogram," katanya.