PARIT BUNTAR - Kerajaan Perak memperkenalkan dua inisiatif di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi menggalakkan kepelbagaian reka cipta dan inovasi di peringkat komuniti bermula tahun hadapan.
Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin berkata, Pusat Komuniti Sains akan dilaksanakan di 16 kawasan Parlimen manakala Program Ruang Reka Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) Keluarga Malaysia pula di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) terpilih di negeri ini.
"Kedua-dua inisiatif berkenaan dapat membantu meningkatkan ekonomi komuniti setempat. Perkara ini bagaimanapun baru di peringkat perbincangan bersama wakil MOSTI sejak tiga minggu lalu.
"Banyak produk yang dikenalpasti boleh diketengahkan termasuk kraftangan cuma dari segi pasarannya, kerajaan akan bantu dengan wujudnya inisiatif tersebut," katanya selepas merasmikan Rumah Pengeringan Solar Pintar (i-Sun Dryer) di Kampung Sungai Baharu Tengah, Tanjung Piandang di sini pada Selasa.
Hadir sama, Exco Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Abdul Yunus Jamahri dan Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pulau Pinang, Profesor TS Dr Salmah Kasolang.
Mohd Akmal berkata, Rumah Pengeringan Solar Pintar yang dilengkapi Internet Kebendaaan (IoT) pertama seumpamanya di negeri itu antara contoh inovasi yang membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Katanya, teknologi yang diusahakan oleh kumpulan perunding projek daripada UiTM itu berjaya meningkatkan kadar produktiviti pengusaha ikan masin dan ikan kering milik Muhammad Asri Dahali, 46, sebanyak lima kali ganda.
"Teknologi yang menelan kos sebanyak RM50,000 itu mampu menghasilkan 150 hingga 300 kilogram ikan kering sehari dan pulangan pelaburan diperoleh sekitar tiga hingga enam bulan sahaja.
"Sistem mesra alam itu dapat mengatasi isu kebersihan dan meningkatkan kualiti pengeluaran ikan sepanjang tahun tanpa dipengaruhi kekangan perubahan cuaca," katanya.