Thailand tawar visa rawatan selama setahun

Iklan
Thailand akan menawarkan Visa Rawatan Perubatan selama setahun bagi menarik pesakit warga asing selaras dengan peranan negara ini sebagai hab utama industri pelancongan perubatan selain untuk meningkatkan pasaran dalam sektor itu.Gambar hiasan

BANGKOK - Thailand akan menawarkan Visa Rawatan Perubatan selama setahun bagi menarik pesakit warga asing selaras dengan peranan negara ini sebagai hab utama industri pelancongan perubatan selain untuk meningkatkan pasaran dalam sektor itu.

Timbalan Jurucakap kerajaan, Dr. Ratchada Thanadirek berkata, Kabinet pada Selasa secara prinsipnya meluluskan Visa Rawatan Perubatan atau Visa Non-MT untuk pesakit dan pengiring mereka (sehingga tiga orang bagi setiap pesakit) untuk mendapat rawatan perubatan di Thailand.

Iklan
Iklan

"Visa Rawatan Perubatan menyasarkan pelawat dan pesakit yang memerlukan rawatan berterusan. Ia selaras dengan rancangan kerajaan untuk mempromosikan Thailand sebagai hab utama pelancongan perubatan,” katanya pada sidang media di sini pada Selasa.

Beliau berkata, pesakit warga asing yang layak mendapatkan visa baharu itu boleh tinggal sehingga 90 hari untuk setiap ketibaan dan mendapatkan kebenaran penginapan jika perlu menjalani rawatan.

Iklan

Pesakit dan pengiring masing-masing perlu menunjukkan penyata bank dengan deposit sekurang-kurangnya 800,000 baht (100 baht = RM12.47), insurans kemalangan dan Covid-19 dengan perlindungan sekurang-kurangnya tiga juta baht.

Sementara itu, di tengah-tengah kebimbangan mengenai varian Omicron, Kabinet pada Selasa memutuskan untuk meneruskan ujian RT-PCR untuk saringan semasa ketibaan kepada semua pelancong.

Iklan

"Belum ada laporan mengenai varian Omicron di sini tetapi pihak berkuasa kesihatan awam mempertingkatkan saringan bagi membendung penularan virus yang mudah merebak itu,” katanya. - Bernama