JOHOR Darul Ta'zim dan Kuala Lumpur City (KL City) sama kuat apabila terikat tanpa jaringan selepas tamat aksi babak pertama pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2021 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Pada aksi tersebut, KL City kendalian Bojan Hodak membariskan kesebelasan terbaik dengan menurunkan dua pemain import sensasi, Paulo Josue dan Romel Morales.
Sementara pengendali JDT, Benjamin Mora turut membuat percaturan ampuh dengan trio serangan yang dibarisi Bergson Da Silva, Arif Aiman Mohd Hanapi dan Muhammad Safawi Rasid.
Pada awal permainan, skuad The Hawks mengambil pendekatan bertahan pada berbanding Harimau Selatan yang kerap melakukan serangan ke kubu KL City.
Skuad JDT mempunyai peluang untuk membuka tirai jaringan seawal minit ke-sembilan apabila penyerang import mereka Bergson berjaya melepaskan rembatan padu namun hanya sekadar terkena tiang.
Bagaimanapun selepas 15 minit perlawanan, KL City dilihat semakin berani untuk melancarkan serangan namun kekebalan pertahanan JDT menjadi halangan buat skuad warga kota untuk mendapatkan gol.
Bagai tersentak dengan serangan itu, JDT memperkemaskan corak serangan dengan beberapa percubaan bahaya namun berjaya dinafikan penjaga gol KL City, Kevin Ray Mendoza yang beraksi cemerlang.
Kedudukan seri 0-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.