10 dilantik calon penyandang pesaka Undang Luak Jelebu ke-16

Iklan
Ibrahim (tengah) bersama barisan Dato-Dato Luak pada sidang media, semalam.

SEREMBAN - Seramai 10 individu diumumkan sebagai mata benih (calon) penyandang pesaka Undang Luak Jelebu ke-16 pada satu majlis perkenalan calon di Seremban 2, semalam.

Mereka terdiri daripada Md Rawi Mahmud, Baharuddin Zainal, Muhamad Azafean Muhamad Fahmi, Mohd Fuzi Silong, Zulkarnaie Zainal, Mustakim Aminuddin, Mohd Nasir Baharun, Mashuwandee Mohamad Yunus, Zarin Md Nor dan Mohd Safiee Omar.

Iklan
Iklan

Nama mereka diumumkan oleh Dato' Nika Menteri Sah Mangku Alam Raja Sari, Ibrahim Harun.

Hadir sama, Dato' Ombi Pangkal Maharajalela, Kadin Kidam; Dato' Mengiang Merah Bangsa, Norazman Ahmad; Dato' Maharaja Inda Mohd. Nordin Mansor; Dato' Senara Angsa, Rosli Mohd Zain; Dato' Paduka Menti Abdul Aziz Zaini dan wakil Dato' Cincang, Raja Maizani Shah Raja Musa.

Iklan

Menurut Ibrahim, semua individu tersebut adalah dalam kalangan 30 orang yang telah mengisi borang permohonan untuk menjadi calon Undang Luak yang baharu.

"Proses ini dibuat berpandu kepada surat Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan yang dikeluarkan pada 28 November tahun lalu, memutuskan untuk memulangkan semula kepada Luak Jelebu bagi memulakan proses mencari mata benih calon penyandang pesaka Undang Luak itu mengikut aturan adat Luak Jelebu," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Menzahirkan Mata Benih (memperkenalkan calon) Penyandang Pesaka Undang Luak Jelebu ke-16 di sini semalam.

Menurutnya, Ketua Adat Waris Kemin iaitu Dato' Maharaja Inda Mohd Nordin telah membuat tapisan awal bersama para buapak dan menyenaraikan seramai 15 orang calon.

"Barisan Dato' Lembaga telah membuat tapisan kedua dan hari ini kami mengumumkan nama 10 individu dalam senarai akhir untuk dipilih sebagai Undang Luak Jelebu ke-16 sebagai sesi perkenalan.

"Bagaimanapun, pengumuman nama Undang Luak yang baru itu akan dibuat pada Khamis ini di Jelebu," katanya.

Ibrahim berkata, pengumuman semalam dibuat secara telus dan jelas berpandukan kepada aturan adat serta tidak dibuat sambil lewa.

Katanya, perkara seperti ini perlu dibuat secara terbuka bagi membolehkan masyarakat mengetahui tata cara memilih Undang Luak dengan cara yang sebenar.

"Para Dato' Lembaga luak ini yakin masyarakat mampu menilai apa yang sedang berlaku dan terserah kepada mereka untuk membuat pendirian masing-masing.

"Kita tidak akan sesekali menderhaka kepada titah Raja, selepas ini, siapa jua pilihan Tuanku kita akan terima," katanya.