PARA pemain negara yang diberikan tanggungjawab menggalas cabaran menentang Perancis dalam saingan suku akhir Piala Dunia Remaja, diingatkan supaya tidak terlalu menghormati jagoan Eropah tersebut.
Sebaliknya menurut pakar pukulan sudut penalti negara, Muhammad Razie Abd Rahim, setiap pemain perlu meletakkan penghormatan tertinggi kepada Malaysia dengan memberikan aksi terbaik dalam menyaingi Perancis.
"Kita secara prinsip boleh hormat pasukan Perancis tetapi tidak boleh terlalu menghormati sehingga menjejaskan tumpuan kita terhadap misi pasukan dalam perlawanan.
"Malah dalam jiwa para pemain tidak perlu wujud sekelumit pun perasaan bimbang langsung terhadap pasukan Perancis.
"Sebaliknya apa yang perlu mereka risaukan hanyalah diri sendiri. Bagaimana untuk memastikan kita mendapat keputusan positif dalam perlawanan tersebut,” kata pemain senior The Speedy Tigers tersebut semasa diminta menitipkan nasihat kepada para pemain remaja negara di Bhubaneswar.
Skuad Wallace Tan bakal membuat perhitungan menentang Perancis di pentas suku akhir bagi pemburuan slot separuh akhir Piala Dunia Remaja di Bhubaneswar pada Rabu.
Untuk rekod, Malaysia pernah berdepan Perancis di pentas separuh akhir edisi New Delhi 2013, namun tewas 1-3 menerusi penentuan pukulan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1.
Jelas Muhammad Razie lagi, beliau percaya apabila prestasi pemain berada pada tahap terbaik secara tidak langsung menyumbang kepada prestasi terbaik keseluruhan pasukan dalam sesuatu perlawanan.
"Setiap pemain ada tanggungjawab dan peranan masing-masing. Jika mereka dapat jalankan tugas itu dengan baik maka tiada perkataan mustahil yang akan timbul bagi pasukan. Percaya antara satu sama lain yang kita adalah terbaik dan bukan mudah untuk dikalahkan.
"Apa pun saya bangga dan sangat berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan semua pemain negara di peringkat kumpulan terutama semasa kita berdepan Belgium.
"Semangat seperti dipamerkan dalam perlawanan menentang Belgium itulah yang kita perlukan pada setiap pemain yang berada di sana. Masing-masing mainkan peranan yang sangat bagus bagi memastikan kita layak ke suku akhir,” ujarnya.
Pada masa sama Muhammad Razie berharap para pemain dapat mengekalkan momentum positif seperti dalam saingan peringkat kumpulan sebelum ini.
"Harapan saya seperti mana mereka bermain di peringkat kumpulan.Tidak takut untuk bermain, menyerang dan bertahan dalam satu unit pasukan.
"Saya percaya dengan setiap barisan pemain yang ada di sana, jika ada penggantian atau sesiapa yang diberi tanggungjawab untuk game suku akhir, saya sangat yakin mereka akan bermain sehabis baik seperti mana mereka tunjukkan di peringkat kumpulan,” katanya.